
Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Katy Perry mencetuskan kontroversi selepas memfailkan tuntutan balas bernilai kira-kira AS$6 juta (RM27.7 juta) terhadap lelaki berusia 85 tahun, Carl Westcott, berhubung pertikaian pembelian sebuah rumah mewah di Santa Barbara.
Pertikaian tersebut bermula pada 2020 apabila Perry bersama bekas tunangnya, pelakon Orlando Bloom, membeli kediaman berkenaan daripada Westcott yang ketika itu baru menjalani pembedahan belakang dan berada di bawah pengaruh ubat penahan sakit.
Westcott, yang menghidap penyakit Huntington, mendakwa beliau tidak berada dalam keadaan mental yang stabil semasa menandatangani kontrak.
Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, mahkamah memutuskan Westcott berada dalam keadaan waras ketika urusan jual beli dilakukan.
Perry kini menuntut ganti rugi kira-kira AS$3.25 juta (RM15 juta) atas kerugian sewaan, selain AS$2.29 juta (RM10.6 juta) bagi kos pembaikan kerosakan termasuk akibat pokok tumbang dan banjir.
BACA JUGA: Pertunangan Enam Tahun Terlerai, Katy Perry & Orlando Bloom Kini Bawa Haluan Masing-Masing
Anak lelaki Westcott, Chart Westcott, mengkritik tindakan Perry dengan menyifatkannya sebagai “tamak” dan “tidak berperikemanusiaan” terhadap seorang warga emas yang sedang uzur.
Orlando Bloom, yang dikatakan bertindak sebagai pengurus syarikat yang membeli rumah itu, turut menerima kritikan kerana tidak dipanggil memberikan keterangan di mahkamah.
Perbicaraan fasa kedua kes ini dijadualkan pada 21 Ogos ini bagi menentukan jumlah ganti rugi yang akan dibayar.
Kes berprofil tinggi itu turut mengundang perhatian ahli politik yang mencadangkan undang-undang baharu dikenali sebagai Protecting Elder Realty for Retirement Years Act
atau Akta PERRY.Akta tersebut bertujuan memberi tempoh bertenang 72 jam untuk transaksi hartanah melibatkan warga emas berusia 75 tahun ke atas. Walaupun begitu undang-undang ini belum diluluskan dan hanya berada pada fasa usul.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan