
Pelakon Datuk Remy Ishak tampil memberikan penjelasan berhubung komen emoji ‘love eyes’ yang ditinggalkan pada foto pelakon Indonesia, Aghniny Haque di media sosial baru-baru ini, selepas didakwa tidak menghormati perasaan isteri oleh segelintir netizen.
Menurut Remy, komen tersebut tidak mempunyai sebarang maksud tersirat, sebaliknya sekadar respon biasa antara rakan pelakon yang bakal bergandingan dalam filem terbaharu.

“Dia ialah heroin saya dalam filem Khadam. Orang luar mungkin tak tahu. Lagipun, tak kan semua perkara saya perlu bagitahu secara terperinci,” katanya kepada MH.
Remy berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Mikael: Pemburu Dua Alam di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.
Filem tersebut dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 April ini.
Dalam pada itu, Remy berpendapat terdapat segelintir pihak yang membuat andaian tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Kalau boleh, masyarakat memang nak tahu segalanya fasal saya. Namun, bukan semua orang berpeluang menjadi kawan saya. Bila tak dapat jadi kawan, mulalah mereka mengeluarkan ayat-ayat yang tidak bagus.
“Jadi, perlu ke saya melayan? Saya rasa, saya tak perlu nak buat penjelasan kepada semua orang. Dengan siapa saya berkawan? Mesej siapa yang saya balas? Mereka tak perlu tahu.
“Bila mereka tak tahu, mungkin itu yang membuatkan mereka nak sangat cari tahu. Jadi, saya pilih untuk tidak melayan,” ujarnya lagi.
Hubungan Rumah Tangga & Respons Isteri
Remy turut menegaskan, tiada rahsia antara dirinya dan isteri, Datin Ezza Yusof. Malah segala tindak-tanduknya diketahui oleh pasangan hidupnya itu.

“Isteri ialah orang yang paling tahu segala perkara fasal saya. Malah, dia sendiri bertanya kepada saya, kenapa ada netizen yang berperangai pelik-pelik?
“Setiap tindak tanduk yang saya lakukan, hubungan kami sebagai suami isteri memang sangat ‘transparent’. Dia tahu dengan siapa saya berlakon.
“Malah, gambar wanita AI yang saya muat naik di media sosial sebelum ini, saya tunjuk dulu kepada isteri dahulu. Saya siap tanya, adakah wanita ini cantik?
“Biarlah mereka dengan keluarga mereka, saya pula dengan keluarga saya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, tindakan Remy meninggalkan komen emoji ‘love eyes’ pada foto Aghniny menarik perhatian ramai dan ia turut menerima respons daripada Ezza di media sosial.
Bagaimanapun, Ezza dengan tenang menjelaskan bahawa komen tersebut bertujuan mempromosikan filem terbaharu lakonan Remy bersama Aghniny berjudul Khadam.
Untuk rekod, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Tuah Alam yang kini berusia tiga tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

