
Pelakon dan pengacara, Jaa Suzuran mengakui dirinya kini berasa trauma untuk memulakan perkenalan dengan mana-mana wanita selepas melalui pengalaman kurang menyenangkan sebelum ini.
Menurut Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, dia pernah cuba berkenalan dengan seorang wanita secara sopan dan dengan niat yang ikhlas.
Namun, tindakan tersebut bertukar menjadi bahan jenaka di media sosial.

“Saya memang trauma nak berkenalan dengan wanita. Sebelum ini, saya ada suka dengan seorang wanita dan niat saya ikhlas nak berkenalan.
“Bila saya hantar chat ‘Assalamualaikum’, wanita itu screenshot mesej saya dan muat naik di media sosial. Dia bagi tahu semua orang yang saya nak ‘try’ dia.
“Pada saya, kalau anda tak nak layan, tak perlu balas mesej saya itu. Kenapa perlu sampai screenshot pula? Bila sudah kena sebegitu, saya jadi agak takut,” katanya kepada MH.
Bekas penyampai radio Era itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media filem Tiket Sehala yang berlangsung di Majestic Marine, Confetti pada petang Isnin.
Filem bergenre survival triler itu dijadualkan menemui penonton di pawagam pada Ogos depan.
Mengulas lanjut, Jaa memaklumkan insiden tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan dirinya untuk berkenalan dengan wanita lain.

“Bila saya suka seseorang dan cuba nak dekat, timbul pula perasaan takut. Dengan kecantikan yang dia miliki, takkanlah dia pandang orang seperti saya.
“Tambahan pula, saya kurang percaya dengan frasa perigi cari timba. Ego perempuan sangat tinggi. Mereka tidak akan semudah-mudahkan nak berkenalan dengan lelaki di media sosial.
“Saya sudah banyak kali berhadapan dengan ego wanita dan kebanyakkannya saya kalah,” ujarnya lagi.
Soal Jodoh, Fasa Sakit Hati Sudah Berlalu
Ditanya mengenai wanita yang cuba mendekatinya, Jaa mengakui belum bertemu insan yang benar-benar menepati citarasanya.

“Tipulah kalau saya kata tiada. Namun, orang yang suka saya, saya pula tak suka dengan dia. Begitu juga sebaliknya. Saya tidak meletakkan kritiria yang terlalu tinggi pun.
“Yang penting dia nampak cantik di mata saya. Kali terakhir saya bercinta adalah pada tiga tahun lepas,” kongsinya.
Dalam masa sama, Jaa menjelaskan bahawa dia sudah lali berdepan persoalan tentang jodoh dan status bujangnya.

“Saya sudah lali sebenarnya. Orang bertanya soal jodoh ini sejak usia saya 26 tahun lagi. Saya hadap soalan ini hari-hari. Sedangkan dalam hidup ini, ada banyak perkara yang saya lakukan.
“Saya merupakan seorang pelakon, hos dan streamer. Bila di media sosial atau berjalan di luar, orang akan bertanya bila saya akan berkahwin.
“Fasa sakit hati itu sudah berlalu. Kini, saya tidak terlalu peduli sangat,” akhirinya.
Terdahulu, Tiket Sehala arahan Ruhila Ali menampilkan barisan pelakon seperti Noki K-Clique, Sharifah Sakinah, Zaki Yamani dan Ainee Mustafa.
Menariknya, filem terbitan Key Billions itu turut menampilkan pelakon luar negara seperti Seok Hyun Jun, Ha Ju-Young (Korea Selatan) serta Ninja (Thailand).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




