
Sejak kebelakangan ini, ada beberapa penyanyi dilihat memilih untuk melancarkan lagu baharu bersempena dengan majlis perkahwinan mereka.
Namun bagi Nadeera Zaini, situasinya sedikit berbeza.
Ini kerana lagu terbaharunya berjudul Peluk, duet bersama Hael Husaini, hanyalah sebuah projek kolaborasi.
Malah menurut Nadeera, ia langsung tiada kena mengena dengan spekulasi dia bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

“Saya hanya ‘berkahwin’ dalam muzik video sahaja. Realitinya belum ada lagi. Spekulasi itu tidak benar sama sekali. Saya belum terfikir nak mendirikan rumah tangga.
“Calon suami pun belum jumpa, macam mana saya nak kahwin? Saya belum ada insan istimewa itu dan fokus saya ketika ini hanyalah terhadap bidang nyanyian.
“Nak dapat peluang seperti sekarang bukanlah mudah. Jadi, saya fokus dengan hal-hal yang sepatutnya sahaja,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu ditemui ketika menghadiri program MeleTOP, baru-baru ini.
Katanya lagi, soal jodoh diserahkan sepenuhnya kepada perancangan Allah SWT.

“Saya pun tak tahu apa niat orang berkata sebegitu. Saya serahkan segalanya kepada rezeki. Kata orang, untuk mendirikan rumah tangga ini, biarlah kita betul-betul bersedia.
“Kalau Allah kata tahun depan saya berkahwin, kahwinlah saya. Saya percaya jodoh ini akan sampai pada waktu yang tepat,” kongsinya lagi.
Tak Trauma Kisah Rumah Tangga Rakan Artis
Ketika ditanya sama ada kisah kegagalan rumah tangga rakan selebriti membuatkan dirinya takut untuk berkahwin, Nadeera menolak andaian tersebut dan percaya setiap orang melalui perjalanan hidup yang berbeza.

“Nak kata trauma, tidaklah. Nasib dan rezeki seseorang itu tidak sama. Siapa tahu kalau rezeki kita bertemu dengan orang yang tepat,” ujarnya.
Jelas Nadeera, kehidupannya kini penuh dengan rasa syukur dan kebahagiaan, dikelilingi keluarga serta rakan-rakan rapat.

“Ketika ini, saya gembira hidup bersama orang-orang tersayang seperti ibu bapa dan rakan sekerja.
“Ada kalanya, perasaan sunyi itu pasti ada. Namun, ketika ini saya gembira dengan perjalanan kehidupan dan kerjaya. Ketika ini, saya memang berada di fasa gembira.
“Keluarga juga sangat menyokong apa yang saya kecapi saat ini. Mereka juga tidak mendesak saya untuk berkahwin,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




