
Pelakon popular Bollywood, Kajol mencetuskan kontroversi apabila menunjukkan rasa kurang senang terhadap permintaan seorang wartawan untuk bercakap dalam bahasa Hindi sewaktu menghadiri acara Anugerah Filem Negeri Maharashtra 2025 di Mumbai, baru-baru ini.
Dalam satu klip video yang kini tular di media sosial, bintang filem Dilwale Dulhania Le Jayenge itu dilihat menjawab soalan media dalam bahasa Marathi dan Inggeris.
Namun, apabila diminta oleh seorang wartawan supaya mengulang jawapan dalam bahasa Hindi, Kajol secara spontan membalas dengan nada tegas seperti kurang senang dengan soalan tersebut.
“Haruskah saya bercakap dalam Hindi sekarang? Siapa yang nak faham, dia akan faham sendiri,” ujarnya membalas permintaan wartawan itu.
Reaksi pelakon berkenaan telah mencetuskan pelbagai pandangan daripada netizen, termasuk kritikan yang menyifatkan tindakan Kajol sebagai angkuh dan tidak sensitif terhadap penonton Hindi yang menjadi majoriti dalam industri Bollywood.
Namun begitu, ada juga yang tampil mempertahankan dan memuji Kajol kerana mempertahankan penggunaan bahasa Marathi sebagai bahasa rasmi negeri tersebut, khususnya dalam sebuah majlis anugerah peringkat negeri yang mana bahasa ibunda negeri tersebut adalah bahasa Marathi.
Kajol, yang kini berusia 50 tahun, belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan setakat ini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan