Pelakon June Lojong menyifatkan watak Maria Hadi yang dibawanya menerusi filem seram psikologi terbaharu, Polong sebagai pengalaman paling mencabar sepanjang karier seninya setakat ini.
Menurut June, watak tersebut bukan sekadar memerlukan penghayatan tinggi, malah ia turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada dirinya.
Tambah June lagi, set penggambaran yang suram dan realistik di dalam penjara misalnya, membuatkan dirinya cuba untuk menyelami perasaan seorang banduan dihimpit rasa bersalah dan ketakutan menjelang hukuman dengan sebaik mungkin.
“Pengalaman berlakon di dalam sel benar-benar buat diri kita rasa insaf. Dalam setiap sel yang telah lama dikosongkan itu, mesti ada tulisan-tulisan sebenar banduan.
“Kebanyakan ialah ayat yang menginsafkan, seperti ‘aku tak nak buat lagi’, ‘mak tunggu adik balik’, ada yang menulis mengenai keluarga juga.
“Banyak tulisan yang menggambarkan rintihan dan penyesalan. Lukisan dan ayat pun ada, macam-macam,” katanya.
June turut menjelaskan, watak Maria Hadi diinspirasikan daripada kes yang pernah tular sebelum ini, namun ia bukan bertujuan mengungkit kisah sebenar atau membuka luka lama.
Baginya, filem ini lebih kepada membuka ruang perbincangan tentang kuasa, pilihan manusia dan penyesalan.
Malah karakter berkenaan dibentuk tanpa meniru mana-mana individu.
Ads
“Bagi mempersiapkan diri, saya tengok footage lama, baca kes-kes terdahulu, tapi saya tak mahu tiru gaya atau rupa sesiapa. Saya cuma nak faham emosi yang dialami wanita itu.
“Pengarah, Zulkarnain Azhar mahu watak itu dibentuk sebagai cerminan manusia yang berada di hujung tekanan, bukan sekadar antagonis.
“Dia juga selalu ingatkan saya, Maria bukan jahat. Dia cuma manusia yang tersesat dalam dunia ciptaannya sendiri,” katanya lagi.
Ads
‘Terikat’ Dengan Karakter & Diganggu Mimpi?
Dalam pada itu, June tidak menafikan dirinya pernah ‘terbawa’ karakter tersebut sehingga pulang ke rumah dan diganggu mimpi.
“Saya jenis yang kalau watak tu ‘intense’, memang susah nak ‘switch off.’ Kadang-kadang bila balik rumah, rasa lain macam.
“Pernah juga mimpi nampak lembaga hitam, tapi itu mungkin sebab badan terlalu penat dan terlalu mendalami watak,” katanya lagi.
Antara babak paling meninggalkan kesan terhadap dirinya adalah adegan pertemuan terakhir Maria bersama anaknya.
“Babak tu betul-betul menekan emosi. Saya tak boleh pura-pura menangis sebab air mata tu datang sendiri. Dia tahu itu kali terakhir mereka berjumpa.
Ads
“Apa pun, saya tak nak orang tengok filem ni semata-mata untuk takut. Saya nak penonton faham sisi manusia yang hilang arah kerana obsesi dan cinta,” tambahnya.
Isteri kepada aktor Namron itu turut menyifatkan Polong bukan sekadar projek lakonan biasa, sebaliknya satu perjalanan penuh spiritual.
“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan pengarah dan pasukan produksi yang sangat menghormati proses seni.
“Harapan saya, Polong bukan hanya diterima penonton tempatan tapi juga dapat ke pentas festival seperti Festival Filem Malaysia,” katanya lagi.
Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang terjerumus dalam amalan ilmu hitam dan dosa lampau, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.
Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong tersebut menuntut balas selepas kematiannya, dan sumpah laknat itu perlu ditanggung oleh pewarisnya.
Filem ini turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Nam Ron, Nadiya Nisaa dan ramai lagi. Polong dijangka menemui penonton pada 2026.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan pelakon, Fareez Fauzi meluahkan rasa syukur apabila muncul sebagai salah seorang pemenang dalam perlawanan tinju All Star Championship 2025 dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, baru-baru ini.
Menurut Fareez, rezeki kemenangan itu ialah hasil kerja keras dan latihan intensif selama hampir dua bulan.
“Pada hari itu, saya memang datang untuk menang. Saya berlatih dua kali ganda untuk pertarungan akhir tersebut. Saya buat banyak perkara yang saya tak pernah buat sebelum ini.
“Sebagai contoh, saya skipping selama 30 minit tanpa henti dan berlari enam kilometer bersama tayar. Itu yang membuatkan saya rasa lebih yakin untuk menang.
“Untuk pertarungan ini, saya ambil masa selama dua bulan untuk berlatih. Alhamdulillah, ada rezeki di situ,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu berkata demikian ketika ditemui di acara malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2025, baru-baru ini.
Fareez menambah, wang kemenangan itu akan digunakan untuk mengadakan majlis akikah buat kedua-dua anaknya.
“Perancangannya saya nak selesaikan perkara wajib dahulu seperti majlis akikah untuk kedua-dua anak saya,” kongsinya ringkas.
Dalam pada itu, Fareez turut memaklumkan dia tidak menolak untuk menyertai mana-mana pertarungan pada masa akan datang sekiranya tawaran yang diterima berbaloi.
“Insyaa-Allah jika risikonya berbaloi dengan bayaran yang bakal saya terima, mungkin saya akan terima tawaran-tawaran itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai sokongan keluarga, Fareez mengakui ibunya agak risau apabila dia memutuskan untuk bertinju.
“Ibu saya pada mulanya tak sokong pun saya sertai pertarungan ini. Walaupun dia tidak terlalu menyokong namun, ibu tetap menitipkan doa.
“Setiap kali sebelum perlawanan, saya akan mesej dan hubungi ibu saya. Manakala isteri pula sokong sahaja keputusan saya ini. Namun, dia juga ada perasaan takut juga. Pada saya, itu normal,” katanya lagi.
Fareez turut berharap agar pencapaiannya dalam arena tinju ini dapat membuka peluang untuknya beraksi di layar perak.
“Ini juga salah satu strategi saya. Saya berusaha bina badan dan naikkan stamina.
“Mana tahu satu hari nanti para penerbit boleh nampak bakat saya untuk ambil saya berlakon di dalam filem aksi. Memang impian saya untuk berlakon filem aksi,” kongsinya lagi.
Pada majlis sama, selebriti dan pempengaruh dari Vietnam, Cindy atau Huỳnh Thị Diễm Mi, dinobatkan sebagai pemenang utama All Star Influencer Award (ASIA) 2025, menewaskan lebih 80 pempengaruh dari 20 negara.
Cindy membawa pulang hadiah bernilai 15,000 USD (RM63,690), trofi eksklusif dan pakej percutian mewah ke Dubai.
Di tempat kedua pula, pencipta kandungan Indonesia, Sheren Nat, membawa pulang 5,000 USD (RM21,120) bersama tiket penerbangan ke Dubai, manakala tempat ketiga dimenangi pempengaruh Kemboja, Rainne Dara, yang menerima 3,000 USD (RM12,672) dan tiket penerbangan sama.
Acara berprestij itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, serta penaja utama Tune Talk dan Sunway Resort Hotel.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
“Menjaga kecantikan ini satu ibadah.” Demikian kata usahawan dan pempengaruh sensasi, Madam Mariyah yang terus berusaha memberi kesedaran kepada umum mengenai kepentingan menjaga penampilan.
Menurutnya, tidak semestinya perlu mengenakan item pelengkap gaya yang mewah atau mahal kerana menjaga penampilan seharusnya menjadi satu perkara penting untuk semua, termasuk golongan lelaki.
“Cantik adalah sesuatu yang subjektif dan ia melambangkan nilai seseorang. Kita perlu terlihat cantik untuk diri sendiri, memang kena cantik.
“Saya ingat satu ayat yang ‘deep’… kata orang, ‘cantik-cantik pun kena tinggal’. Bagi saya, biarlah kena tinggal pun. Kita ni teruslah jaga diri, untung-untung kita dapat (pasangan) yang lebih baik.
“Apa yang ingin saya tekankan ialah, you kena cantik, sihat untuk diri-sendiri. Tolonglah…
“Malah saya selalu pesan, bergayalah. Pakai baju lawa, pandai cari duit dan sebagainya. Yang lelaki pun kena buat perkara sama, katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan penjagaan dirinya pula, Mariyah mengakui berjaya menurunkan berat badan sehingga 48 kilogram (KG) dan mendedahkan sudah dua tahun tidak menikmati nasi.
Mariyah atau nama penuh Mariyah Yaakob, 50, berkata dia hanya menikmati sepinggan salad dan secawan kopi keluarannya setiap hari.
“Bukan nak tipu, tetapi ini kenyataan. Saya sudah dua tahun tidak makan nasi. Setiap hari saya hanya akan makan salad dan minum kopi Che’ Lims.
“Kadang-kadang saya makan kek. Dalam tempoh dua tahun itu, saya berjaya turunkan berat sekitar 48KG.
“Berat saya sebelum ini adalah 98 kilogram, sekarang 50 kilogram. Saya juga sedang berusaha untuk turunkan lagi 2 kilogram,” katanya ketika ditemui pada majlis santai bersama media di ibu kota, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Mariyah menjelaskan dia memilih untuk menurunkan berat badan secara semula jadi tanpa sebarang pembedahan.
“Kalau orang itu umur 25 atau 30 tahun dapat berat 48 kilogram itu normal, tetapi kalau umur 50 macam saya dengan berat badan sekitar 48 kilogram itu luar biasa.
“Ada juga yang tanya saya kurus sebab buat bariatrik ke? Jawapannya sama sekali tidak, saya tidak percaya dengan perkara itu. Berat badan saya turun secara semula jadi. Hanya dengan minum kopi Che’ Lims,” katanya lagi.
Tidak hanya berkongsi kejayaan transformasi diri, Mariyah turut teruja mengumumkan bahawa kopi Che’ Lims bakal dilancarkan dengan wajah baharu sebagai simbol kepada fasa kehidupannya kini.
“Saya sekarang mulakan kehidupan baharu sebagai ibu tunggal. Jadi kopi saya juga perlu berwajah baharu sebagai simbolik kehidupan baharu saya.
“Kenapa perlu bersedih kalau kena tinggal, sebagai perempuan saya tidak rugi apa pun. Perlu bangkit dan teruskan hidup.
“Apa pun saya bersyukur apabila kopi ini juga berjaya terjual sebanyak 500,000 sachet sejak Ogos lalu dan pengenalan wajah baharu ini juga sempena sijil halal yang kami akan terima,” katanya yang terharu atas reaksi positif pengguna.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Trio dari Indonesia, Mendua, tidak menyangka mereka bakal meraih markah tertinggi pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Ahad lalu.
Menurut salah seorang anggotanya, Marisha Friska Halauwet atau lebih mesra disapa Sasha, segala usaha mereka ternyata berbaloi walaupun sibuk dengan rutin dan pekerjaan hakiki.
“Kami sangat terkejut, bersyukur dan tak menyangka bakal menduduki tempat pertama. Sejujurnya kami memang penat kerana terpaksa berulang-alik dan menjalani latihan yang agak singkat.
“Kami juga harus memberikan fokus terhadap keluarga dan pekerjaan hakiki.
“Bila dapat markah paling tinggi, kami gembira dan rasa penat itu terbayar. Segalanya berbaloi,” katanya yang ditemui selepas berakhir konsert minggu pertama GV12, Ahad lalu.
Sementara itu, Hendra Purnanto atau Pungky meluahkan rasa syukur kerana keserasian antara ahli Mendua masih kuat walaupun mereka sudah 18 tahun tidak bertemu.
“Sejujurnya, sebelum menyertai GV12, sudah 18 tahun kami langsung tidak bertemu dan berhubung. Apatah lagi untuk menyanyi bersama.
“Kalau berhubung pun hanya sekadar untuk mengucapkan selamat hari lahir di Instagram. Itu pun hanya setahun sekali. Kami punyai kesibukkan masing-masing.
“Dunia kami bertiga sangat berbeza. Sasha merupakan doktor pakar bedah. Diana pula seorang usahawan dan saya masih dalam bidang muzik.
“Walaupun sudah 18 tahun tidak bertemu, itu menunjukkan yang kami masih punyai prinsip. Apapun yang berlaku, kita tetap sahabat baik,” kongsinya.
Dalam masa sama, Pungky turut menghargai usaha rakan seangkatan, The Lima, yang meyakinkan mereka untuk kembali bergabung dan bertanding di GV12.
“Kami turut diyakinkan oleh sahabat kami iaitu The Lima untuk bertanding di program ini. Kata mereka, kami masih mempunyai kemampuan untuk bertanding.
“Sebelum ini, kami agak ragu-ragu kerana sudah lama tidak menyanyi bersama. Adakah chemistry kami masih sama? Bila lama sudah tidak bertemu, perasaan janggal itu sudah tentunya ada.
“Menariknya, pada hari pertama kita kembali bertemu, tak rasa seperti 18 tahun berpisah. Setiap lima minit kami asyik ketawa sahaja. Chemistry itu memang tidak boleh dibeli,” ujarnya lagi.
Pungky turut mengakui, Mendua mempunyai cita-cita besar untuk bergelar juara GV12.
“Memang itulah harapan kami tapi kami tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi sehingga memberikan tekanan. Kami hanya mahu menikmati setiap proses di pertandingan ini.
“Kami tak mahu proses ini rasa tidak menyenangkan. Namun, ini adalah pertandingan. Tak mungkin kami hanya menyasarkan tempat kedua atau ketiga.
“Sudah tentu kami ingin bergelar juara. Kini, kami sudah lebih dewasa dan menghargai waktu. Jadi, bila sudah diberikan kesempatan untuk bersama, kita gunakan sebaik mungkin,” akhirinya.
Terdahulu, Mendua berjaya menampilkan persembahan memukau menerusi lagu Hampir Ke Situ, sekaligus meraih markah tertinggi 69.50% pada konsert minggu pertama GV12.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.