
Bintang K-pop terkenal, Jennie daripada kumpulan BLACKPINK memenangi kes saman terhadap seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bapa kandung penyanyi itu dan menerbitkan sebuah buku berasaskan dakwaan palsu tersebut.
Mahkamah Cawangan Goyang, Mahkamah Daerah Uijeongbu, Korea Selatan pada 9 Mei lalu memutuskan dakwaan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai A sebagai tidak berasas dan mengarahkan semua penerbitan berkaitan dimusnahkan serta-merta.
Dalam laporan All Kpop yang memetik majalah bulanan Korea, Woman Sense
, mahkamah menegaskan bahawa tiada bukti kukuh menyokong kenyataan defendan selain dakwaan lisan semata-mata.“Satu-satunya ‘bukti’ yang dikemukakan hanyalah kenyataan defendan sendiri. Sebaliknya, rekod daftar keluarga rasmi plaintif dengan jelas menyenaraikan individu lain sebagai bapa kandung,” ujar mahkamah dalam penghakiman tersebut.
Kontroversi tercetus apabila defendan menerbitkan sebuah novel berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan nama dan logo Jennie pada kulit hadapan buku tersebut. Dalam bahagian prolog, lelaki berkenaan secara terang-terangan mendakwa Jennie ialah anak kandungnya.
BACA JUGA: Rosé Blackpink Cipta Sejarah, Benam Rekod Mariah Carey
Buku tersebut kemudiannya tersebar dalam kalangan peminat sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi tidak berasas bahawa penyanyi berusia 28 tahun itu berasal daripada keluarga elit dan berpengaruh.
Susulan penyebaran bahan fitnah tersebut, Jennie melalui agensinya OA Entertainment mengumumkan pada 6 September 2024 bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu terbabit.
Seterusnya, pada 24 Disember 2024, satu permohonan injunksi telah difailkan di mahkamah sama oleh pihak OA Entertainment bagi menghalang sebarang pengedaran lanjut buku tersebut.
Nama defendan dan syarikat penerbitannya B turut disenaraikan dalam saman berkenaan. Kes ini dikendalikan oleh firma guaman terkemuka Korea Selatan, Yulchon.
Mahkamah dalam keputusannya berpihak kepada Jennie dan memutuskan bahawa tindakan defendan telah menyebabkan penyebaran maklumat palsu serta mencemarkan nama baik artis tersebut.
Sehubungan itu, defendan telah diarahkan supaya tidak lagi menggunakan nama Jennie dalam sebarang bentuk penerbitan, media sosial termasuk KakaoTalk dan temu bual.
Walaupun mahkamah mengesahkan berlakunya pencabulan hak peribadi Jennie, tiada denda atau arahan pelaksanaan sementara dikeluarkan memandangkan kes ini tidak melibatkan tuntutan harta.
Kesemua kos guaman telah diarahkan supaya ditanggung oleh pihak defendan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan