
Pelakon Hun Haqeem menyeru golongan lelaki untuk tidak lagi malu atau segan melakukan ujian kesuburan sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan zuriat.
Menurut Hun, masyarakat kini perlu membuang stigma bahawa isu kesuburan hanya melibatkan wanita semata-mata.
“Pada saya, setiap juga lelaki harus buat ujian kesuburan. Bukan wanita sahaja. Barulah adil dan kita tahu apa masalah masing-masing.
“Kemudian, jika ada masalah, sama-samalah kita ikhtiar. Sebab itu komunikasi sangat penting dalam perkahwinan,” katanya kepada MH.
Hun berkongsi pandangan itu ketika ditemui di majlis sidang media drama Mandul Bukan Pilihan, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon berusia 27 tahun ini turut berharap agar drama berkenaan dapat menjadi pemangkin perubahan sikap masyarakat terhadap isu kesuburan yang masih dianggap tabu oleh sebilangan pihak.
“Drama ini menyentuh tentang harapan dan stigma-stigma tentang kekeluargaan terutamanya isu mandul. Kami cuba nak sampai mesej dengan cara yang sangat ringan supaya pemahaman itu sampai kepada penonton.
“Semoga mandul ini tidak lagi menjadi isu yang sensitif supaya kita boleh bantu di antara satu sama lain. Ini adalah matlamat saya di dalam drama ini.
“Dengan sokongan yang baik daripada keluarga, kawan-kawan dan orang-orang sekeliling, isu yang berat ini dapat jadi ringan,” ujarnya lagi.
Isu Kahwin Muda & Tanggungjawab
Sementara itu, Hun turut meluahkan rasa syukur apabila diberikan peluang membawa watak yang lebih mencabar menerusi drama arahan Osman Ali itu.
Menurutnya, karakter Aldi membuka perspektif baharu terhadap realiti alam rumah tangga, terutama yang melibatkan pasangan muda.
“Drama Mandul Bukan Pilihan dan watak Aldi ini mempunyai satu beban yang sangat berbeza berbanding lakonan saya sebelum ini. Malah, drama ini juga menyentuh isu yang sangat sensitif.
“Saya bersyukur dikurniakan watak ini pada usia 27 tahun. Generasi masa kini ramai yang berkahwin awal dan jumlah perceraian juga sangat tinggi.
“Kebanyakan generasi masa kini mengambil mudah tentang kehidupan perkahwinan. Seperti Aldi dan Billa yang berkahwin muda tapi tak berfikir panjang. Setiap keputusan itu ada kesannya,” katanya lagi.
Mandul Bukan Pilihan akan mula ditayangkan menerusi slot Mega Drama di saluran Astro Ria dan Astro Go bermula hari ini, 14 Julai
Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mira Filzah, Ayda Jebat, Normah Damanhuri dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI