
Penyanyi dan komposer, Allan Andersn menggesa orang ramai menjadikan kes yang menimpa pelajar, Zara Qairina sebagai pengajaran untuk berhenti menormalisasikan segala bentuk buli.
Menurut Allan, isu buli bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal, sebaliknya buli mental juga mampu meninggalkan kesan yang sangat serius.

“Saya sangat perihatin dan berduka dengan apa yang terjadi kepada Zara Qairina. Buli ini bukan hanya sekadar perkara yang dapat dilihat.
“Bukan sahaja sentuhan fizikal, fitnah juga merupakan satu bentuk buli dan pembunuhan karakter. Komen-komen di media sosial juga boleh jadi buli.
“Saya pernah bersuara di Instagram, jangan katakan ‘Justice For Zara’ kalau kamu masih menjadi keyboard warrior. Masalah badan, salah gaya tudung dan kulit gelap, semua jadi bahan komen.
“Kenapa kita tak boleh belajar untuk menerima kekurangan dan kelebihan orang lain?,” katanya kepada MH ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Seakan Ku Tak Ada di Liten Coffee, Ampang.

Dalam pada itu, Allan turut berkongsi bahawa insiden yang menimpa Zara mengingatkan dirinya kepada anak saudaranya yang kini menetap di Australia.
“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan. Mereka yang membuli harus ditangkap. Pada saya, insiden ini sangat menyeramkan.
“Saya tak dapat bayangkan kalau anak buah saya diperlakukan sebegitu. Ketika ini, anak buah saya menetap di Australia. Warna kulitnya tidak sama dengan orang tempatan.
“Rakan-rakan sekolahnya pernah bertanya, kenapa awak tidak kelihatan seperti kami. Dia susah nak mencari kawan. Sebagai bapa saudara, saya sangat sakit hati.
“Saya bagitahu kepada anak buah saya. dia tak perlu berteman. Jadilah orang pandai, nanti mereka akan berkawan dengan kita,” ujarnya.
Kesan Buli Mental & Fizikal
Tambah Allan, kata-kata di media sosial mampu memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan seseorang.

“Berhentilah jadi jahat di media sosial. Ada cara yang lebih baik untuk menegur. Saya percaya, semua agama mengajar kita untuk menyayangi dan mengasihi sesama manusia.
“Tak salah nak menegur mereka yang berpakaian seksi tapi jangan samakan mereka dengan binatang. Itu sangat jahat. Ingatlah bahawa mereka ada orang tua yang boleh membaca semua itu.
“Kita juga punyai ibu bapa dan keluarga, macam mana kalau hal sebegitu terjadi kepada kita juga. Kita juga akan sakit hati.
“Buli fizikal boleh beri kesan buruk. Begitu juga buli mental. Mangsa boleh depressi dan bunuh diri,” tegasnya.
Allan juga mengakui pernah beberapa kali menjadi mangsa buli di media sosial.

“Saya sering dapat komen yang mengatakan suara saya berbeza. Apa yang boleh saya buat?
“Malah saya pernah dituduh membuli orang di sebuah program realiti TV. Bila ditanyakan semula, katanya itu hanyalah untuk mencari publisiti.
“Tiga minggu saya di program tersebut, saya memang nak keluar. Saya tak mahu lagi ada di situ. Ada juga netizen yang beri komen negatif namun, saya cuba untuk kuat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Allan baru sahaja melancarkan lagu terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada yang turut dimuatkan dalam album Dear AA.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




