
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno tidak menyangka lagu ciptaannya berjudul Kesuma nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya mencetuskan fenomena, terutamanya selepas kejayaan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung Januari lalu.
Menurut Aisha, kejayaan lagu tersebut sebenarnya banyak dibantu oleh kualiti serta pengalaman yang dimiliki oleh penyanyi nombor satu negara itu.
“Apa yang boleh saya katakan, Biduanita Negara kita Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya membawakan lagu itu dengan sangat baik. Saya rasa lagu itu memang sesuai dengan genre dan kebolehan vokal beliau.
“Apabila beliau membawakan lagu itu, peminat-peminatnya juga suka. Sebab itu saya merasakan populariti lagu itu melonjak dengan sangat cepat.
“Terutamanya selepas momen viral ketika konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBj) apabila Datuk Siti melompat daripada bawah pentas,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sutera itu berkata sedemikian ketika ditemui di U Mobile Ultra 5G Fest yang berlangsung di Jetty DBKK, Kota Kinabalu, Sabah, pada Sabtu.
Aisha turut manzahirkan rasa bangga apabila Kesuma turut berada dalam senarai lagu yang dipersembahkan di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
“Saya sangat gembira apabila lagu ciptaan saya berkumandang di SNBJ. Walaupun lagu itu masih baharu tapi beliau berani untuk memukul tanggungjawab itu.
“Ketika bekerja di dalam studio, saya tak pernah meletakkan ekspektasi sesebuah lagu itu akan meletup. Apa yang terjadi, saya biarkan terjadi. Apa yang berlaku ini melebihi jangkaan saya,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kritikan segelintir pihak yang menyifatkan lagu ciptaannya itu seakan merosakkan genre irama asli tradisional, Aisha bagaimanapun menyifatkan muzik juga memerlukan perubahan seiring peredaran zaman.
“Pada saya, orang bebas memberikan pendapat. Itu bermakna mereka mengambil kisah tentang lagu yang saya hasilkan. Saya hormat setiap pandangan. Tak salah pun kita beri pendapat.
“Jika saya boleh bagi input, kita seharusnya terbuka menerima pembaharuan. Gabungan muzik tradisional dan moden sangat diperlukan bukan sahaja untuk menarik minat generasi lama tetapi juga generasi baharu.
“Generasi baharu pun dengar album baharu Datuk Siti disebabkan oleh gubahan muzik yang baharu,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Aisha memaklumkan dirinya tidak mempunyai perancangan untuk merakam semula lagu Kesuma kerana karya tersebut memang diciptakan khas buat Siti Nurhaliza.
“Saya tiada perancangan untuk merakam semula lagu itu. Saya takut. Cukuplah sampai di versi demo sahaja.
“Lagu itu memang diciptakan khas untuk Siti Nurhaliza. Namun, kalau untuk cover atau nyanyi sahaja-sahaja, apa salahnya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Aisha Retno & Siti Nurhaliza