
Buat julung kali, acara tinju melibatkan pempengaruh media sosial dari tujuh negara menerusi All Star Championship: Dubai Edition bakal berlangsung di Dubai pada 3 Mei ini, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam industri kandungan digital global.
Pertandingan yang akan berlangsung di Round 10 Boxing Club itu menghimpunkan 16 influencer dari Rusia, Maghribi, Singapura, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Jepun dalam satu platform kompetitif berkonsepkan sukan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Rahman Soltan, penganjuran tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di dunia apabila menggabungkan elemen tinju dengan pengaruh media sosial.
“Ini adalah perlawanan influencer pertama di dunia. Kita himpunkan peserta dari pelbagai negara untuk bertanding dalam suasana kompetitif tetapi masih mengekalkan semangat kesukanan.
“Pada masa sama, ia membuka peluang kepada influencer untuk keluar daripada zon selesa dan membuktikan kemampuan mereka dalam bidang baharu,” katanya.
Menurut Abd Rahman, setiap peserta dipilih berdasarkan kesesuaian fizikal, karakter serta kesediaan menjalani latihan intensif sebelum bertanding.
“Pemilihan bukan sekadar populariti, tetapi kita melihat keserasian, disiplin dan semangat untuk bertanding agar perlawanan menjadi seimbang.
“Gabungan faktor ini penting bagi memastikan setiap pertarungan memberi impak dan pengalaman terbaik kepada penonton,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semua peserta diwajibkan menjalani latihan selama empat bulan selain perlu menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh persediaan.
“Kalau tiada disiplin dan usaha, ia bukan pertandingan. Kita mahu perlawanan yang berkualiti dan kompetitif.
“Sebab itu, setiap peserta perlu konsisten dalam latihan dan menunjukkan perkembangan yang jelas sebelum dibenarkan naik ke gelanggang,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Rahman juga menegaskan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan utama memandangkan acara tersebut melibatkan peserta antarabangsa.
“Setiap peserta perlu melepasi pemeriksaan kesihatan termasuk ujian darah dan rekod perubatan yang diluluskan pihak berkuasa berkaitan sebelum dibenarkan bertanding.
“Keselamatan bukan perkara yang boleh dikompromi kerana ia melibatkan risiko fizikal serta tanggungjawab kami sebagai penganjur,” katanya.
Malah, langkah keselamatan tambahan turut dilaksanakan termasuk penyediaan pasukan perubatan, ambulans serta pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan badan pengawal selia di Dubai.
“Semua prosedur dipatuhi sepenuhnya termasuk kehadiran doktor dan pasukan kecemasan sepanjang acara berlangsung. Ini bagi memastikan sebarang situasi dapat ditangani dengan segera dan profesional.
“Sementara bagi kategori wanita, penggunaan pelindung muka serta sarung tangan khas turut diwajibkan bagi mengurangkan risiko kecederaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Abd Rahman Soltan
mengakui pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan termasuk menilai keadaan semasa lokasi sebelum acara berlangsung.“Saya sendiri akan ke Dubai lebih awal untuk memastikan semuanya selamat. Jika tidak, kita tidak akan teruskan.
“Peserta adalah tanggungjawab kami dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan,” tegasnya.
Acara tersebut dijangka membuka lembaran baharu dalam industri pempengaruh apabila mengangkat konsep pertandingan sukan ke tahap yang lebih profesional dan kompetitif.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini