
Tampil dengan imej bertopeng, penyanyi rap misteri, Fiq7 menafikan dakwaan dia cuba meniru penampilan artis-artis popular seperti Alan Walker, Bandi Amuk dan Encik Mimpi.
Menurut Fiq7, langkah untuk tidak mendedahkan wajah kepada umum dibuat kerana mahu karya-karyanya lebih ke depan berbanding hal peribadi.

“Saya tutup muka dan tidak dedahkan identiti ini bukanlah nak meniru sesiapa. Saya nak orang lebih mengenali karya-karya saya berbanding siapa diri saya. Itulah sebab utamanya.
“Bila pakai topeng ini memang agak mengganggu sedikit ketika menyanyi. Saya jadi sukar bernafas tapi lama kelamaan, saya sudah terbiasa.
“Saya sudah dua tahun tampil dengan imej seperti ini. Saya memang tiada perangangan untuk ubah atau buka topeng saya ini,” katanya kepada MH.
Fiq7 berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Gelas Memori yang turut menampilkan Adira Suhaimi, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bersyukur dengan sokongan peminat, Fiq7 mengakui mereka sangat memahami pendiriannya.

“Ramai yang bertanya mengapa saya memilih untuk menutup muka. Alhamdulillah tiada sampai tahap nak marah. Kebanyakkan mereka memang fokus pada lagu.
“Memang itulah tujuan saya selama ini. Bawa imej sebagai penyanyi yang tidak menunjukkan muka ini bukanlah satu yang mustahil. Yang penting karya dan lagu kita perlu kuat.
“Insya-Allah orang akan terima kita. Yang mana kenal saya secara peribadi, mereka akan tahu siapa saya tapi mereka akan diam sahaja,” katanya.
Kolaborasi Bersama Adira
Berkongsi mengenai terhasilnya Gelas Memori, Fiq7 menjelaskan lagu tersebut ditulis ketika melalui fasa paling mencabar dalam hidup.

“Saya menulis lagu ini ketika berada di kampung dan pada waktu itu, saya berada di titik yang terendah dalam hidup. Saya ambil masa selama 15 minit untuk menyiapkan lagu ini.
“Saya terus rakamkan demo dan beri kepada syarikat rakaman saya.
Ditanya mengenai pemilihan Adira sebagai rakan duet, Fiq7 menjelaskan keputusan tersebut dicapai selepas berbincang dengan pihak Nova Music dan Rhunut Music.

“Saya memang tahu Adira merupakan penyanyi popular dan mempunyai pelbagai lagu-lagu hits. Ketika menulis lagu ini, saya tidak terbayang pun mana-mana penyanyi.
“Bila saya serahkan lagu ini kepada pihak label, kita adakan perbincangan dan merasakan Adira merupakan calon yang tepat untuk bawakan lagu ini.
“Maka, terjadilah kolaborasi ini. Adira pun suka lagu Gelas Memori ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” akhirinya.
Sebelum Gelas Memori, nama Fiq7 pernah mencetuskan fenomena digital dengan jutaan tontonan di YouTube menerusi lagu seperti Puisi Malam (8.5 juta), Rindu Tak Terucap (6.6 juta) dan Restu (1.6 juta).
Gelas Memori kini boleh didengari di semua platform penstriman dan muzik videonya telah dilancarkan di saluran YouTube Rhunut Music.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
@mediahiburanofficial Penyanyi, Adira Suhaimi dan rapper misteri, Fiq7 kini berkolaborasi untuk melancarkan single terbaharu berjudul Gelas Memori💕. Setelah sukses menerusi pelbagai projek duet, Gelas Memori ini merupakan percubaan pertama Adira untuk membawakan lagu bergenre rap🔥. #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




