
Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab fesyen budaya serantau apabila International Cultural Fashion Festival (ICFF) 2025 berlangsung meriah di Level 42, Menara Affin TRX, Kuala Lumpur.
Acara anjuran FM Group dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot.
Festival ini menjadi sebahagian daripada Temasya 2025 Precious of Malaysia serta platform promosi awal bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pembukaan ICFF 2025 diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal Farel Mikhail yang menampilkan 11 koleksi lelaki Elevated Batik Suit dan 4 koleksi wanita Songket Modern Dress.
Rekaannya yang menggabungkan keindahan warisan tekstil Melayu dengan sentuhan moden menjadi tumpuan utama malam tersebut.
Dalam pada itu, festival ini turut menghimpunkan 22 pereka fesyen dari Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia. Antara nama besar yang terlibat termasuk Rashid Moshi, Afiq Shazani, Boyfazly, Gil Macaibay Fashion Studio serta Munaka by Aluna.
Turut serta ialah enam institusi pendidikan fesyen ternama seperti ESMOD Kuala Lumpur, UiTM Sri Iskandar, UNITAR, UCSI, Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad dan Kolej Komuniti Selayang, memperlihatkan bakat segar generasi baharu.
Kejayaan Peserta Antarabangsa
Pemenang ICFF 2025 dipilih oleh panel juri berpengaruh yang terdiri daripada pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain, pengasas galeri seni Terimba, Redza, dan pereka fesyen Farel Mikhail.
Juara dan naib juara diungguli oleh peserta dari Filipina iaitu Russ Cuevas dan Jeremiah Gazo, manakala peserta negara, Rashid Moshi di tempat ketiga.
Tempat keempat disandang oleh Munaka by Aluna dari Indonesia, manakala anugerah ASEAN Emerging Fashion Designer diberikan kepada Afiq Shazani dari Malaysia.
Menurut Dato’ Shaharuddin, penganjuran festival ini bukan sahaja menonjolkan keunikan fesyen serantau, malah membuka ruang kolaborasi kreatif antara negara.
“International Cultural Fashion Festival bukan sahaja mengangkat keunikan fesyen serantau, malah membuka ruang pertukaran budaya dan kolaborasi kreatif.
“Ia selaras dengan visi Temasya 2025 Precious of Malaysia dan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Temasya 2025 Precious of Malaysia berlangsung dari 11 hingga 17 Ogos 2025 di Pavilion Damansara Heights dan Menara Affin TRX.
Pelbagai acara berprestij turut diadakan termasuk Pameran Seni Kraf Negara, pelancaran lagu tema Precious of Malaysia, Busana Kreasi serta Gema Tarik Etnik Malaysia.
Festival ini sekaligus mengukuhkan aspirasi Malaysia untuk mengangkat seni, budaya, warisan dan fesyen serantau ke pentas antarabangsa, menempatkan negara sebagai pusat fesyen budaya dunia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




