
Guru tari profesional, Linda Jasmine mengakui dirinya perlu menggunakan pendekatan berbeza untuk membimbing anaknya, Tengku Ratu Haidar Tengku Iskhan Shah, sepanjang bertanding di program Talk To My Manager (TTMM) musim ke-2.
Menurut Linda, meskipun berpengalaman mengajar pelbagai peringkat usia, mengajar anak sendiri memberikan pengalaman yang berbeza terutama dari segi emosi sebagai seorang ibu.

“Bila nak mengajar anak sendiri, saya rasa ia lebih sukar daripada nak mengajar orang lain. Saya pernah bekerja dengan semua peringkat umur, artis profesional sehinggalah dengan mereka yang tidak punyai pengalaman di atas pentas.
“Namun, saya rasa cabaran ini bagus. Ia akan memberikan saya pengalaman untuk mengajar lebih ramai kumpulan manusia. Jadi, saya seharusnya boleh mengajar dan mengurus anak sendiri.
“Perasaannya pasti akan berbeza kerana ia bakal bercampur dengan perasaan peribadi. Sepanjang pengalaman bergelar guru tari, setiap pelajar ada pendekatan yang berbeza.
“Ada cara yang keras dan lembut. Apapun, kita nak keputusan yang terbaik. Jadi, saya kena cari tahu dahulu cara yang sesuai,” katanya kepada MH.
Linda berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media TTMM2 baru-baru ini.
Utamakan Peranan Ibu Sebelum Pengurus
Bagaimanapun, Linda menegaskan kebajikan anaknya sentiasa menjadi keutamaan berbanding hal-hal lain.

“Saya kena tahu beza bila masanya saya perlu jadi pengurus dan bila perlu menjadi ibu. Perkara ini sangat sukar. Seperti kejadian sebelum ini, Ratu ada satu sesi penggambaran fotografi.
“Saya sudah siapkan dia segala perancangan. Nak datang awal dan sudah bersedia sepenuhnya. Tiba-tiba Ratu sakit sebab ada masalah perut.
“Kita jumpa doktor dan mereka bagi drip. Ketika itu, saya mengharapkan yang kita sempat ke tempat penggambaran. Namun, doktor tahan Ratu.
“Selepas itu, saya terus bercakap dengan diri sendiri, penggambaran ini harus dihentikan. Ketika itu, saya kena berhenti berfikir menjadi pengurus. Saya perlu menjadi seorang ibu,” kongsinya sebak.
Linda turut mendedahkan mereka sebenarnya telah ditawarkan untuk menyertai TTMM sejak musim pertama, tetapi terpaksa menolak kerana faktor kesediaan.

“Sebenarnya kami dapat tawaran sejak daripada musim pertama lagi. Namun, saya tidak terima kerana ketika itu, kita pun tak tahu lagi format rancangan ini. Saya agak takut dan Ratu juga belum bersedia lagi.
“Saya agak terkejut apabila mereka sekali lagi memberikan tawaran ini kepada kami. Apa sahaja tawaran yang datang, saya tidak akan sorokkan daripada Ratu.
“Saya jadi agak terkejut bila Ratu terus bersetuju nak sertai TTMM2. Saya bertanya kepada dia, betul ke? Program ini perlukan komitmen dan dedikasi yang tinggi.
“Bila dia jawab dengan yakin, saya pun bersetuju,” katanya lagi.
Walaupun menghadapi cabaran berganda sebagai ibu dan pengurus, Linda optimis mereka akan memberikan persembahan terbaik.

“Pada akhirnya, saya tetap ibu kepada Ratu. Siapa lagi yang nak menjaga dia? Dia hanya ada saya. Jadi, saya akan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan pengurus dengan baik.
“Kami juga akan cuba buat yang terbaik. Kami juga nak berhibur dan menikmati perjalanan di program ini. Semoga Ratu boleh dapat pengalaman dan belajar sesuatu sepanjang program ini.
“Dalam program ini, dia bukan sahaja belajar tentang nyanyian dan persembahan, dia juga akan belajar tentang disiplin dan bertanggungjawab,” akhirinya.
TTMM2 bakal bersiaran bermula 19 April ini di saluran Astro Ria, Astro One dan sooka jam 9.00 malam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




