
Hubungan Brooklyn Beckham dengan ibu bapanya, David dan Victoria Beckham, dilaporkan berada pada tahap paling tegang selepas beliau mengarahkan agar sebarang komunikasi dibuat hanya melalui peguam.
Menurut laporan media antarabangsa, Brooklyn, 26, mengeluarkan satu notis rasmi yang menetapkan bahawa ibu bapanya tidak lagi boleh menghubunginya secara terus, sama ada melalui panggilan, mesej atau media sosial.
Arahan itu juga meliputi larangan menandakan atau menyebut namanya dalam sebarang hantaran awam.
Langkah tersebut dipercayai diambil selepas ketegangan berpanjangan dalam keluarga Beckham, yang dikaitkan dengan hubungan Brooklyn bersama isterinya, Nicola Peltz.
Pasangan itu dilaporkan tidak menghadiri beberapa acara keluarga kebelakangan ini, termasuk sambutan ulang tahun ke-50 David Beckham, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai keretakan hubungan.

Brooklyn juga dilaporkan telah menyekat David, Victoria dan adik-beradiknya di media sosial. Seorang ahli keluarga mengesahkan bahawa tindakan itu bukan dibuat oleh pihak Beckham, sebaliknya oleh Brooklyn sendiri.
Sumber terdekat menyatakan Brooklyn mahu menetapkan sempadan yang lebih jelas dalam hubungannya dengan keluarga dan mengelakkan perkara peribadi terus menjadi bahan spekulasi media.
Walaupun komunikasi dengan ibu bapanya kini terbatas, Brooklyn masih mengekalkan hubungan dengan datuk dan nenek dari kedua-dua belah keluarga.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Beckham berhubung perkembangan tersebut.
Sekadar info, Brooklyn Beckham merupakan anak sulung kepada pasangan David dan Victoria Beckham. Beliau dilahirkan pada 4 Mac 1999 dan memiliki tiga orang adik, dua lelaki dan seorang perempuan.
Berkahwin dengan Nicola pada 2022, beliau kini merupakan seorang personaliti media sosial dan juga bergelar seorang cef.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




