
Teguh memperjuangkan karier dan karya hampir tiga dekad, band Stereoangel dari Sabah akhirnya menunaikan satu lagi cita-cita keramat yang diimpikan sekian lama, iaitu untuk menghasilkan album sendiri.
Dianggotai oleh Mhai, 44, selaku vokalis dan gitar kedua; Nai, 44, (bass); Ding, 38, (gitar utama); Moli, 39, (dram); serta Apis, 37, (keyboard/synth), penghasilan album ibarat menjadi bukti ampuh perjuangan mereka yang tidak sia-sia.
Selepas mencurahkan sepenuh jiwa dan raga, album Abstraksasi dilancarkan secara rasmi pada November lalu, membuktikan jenama Stereoangel melangkah ke satu lagi dimensi.
Album yang mengambil masa sekitar lapan bulan untuk disiapkan itu disuntik keistimewaan tersendiri bertepatan dengan identiti band ini.
Corak karyanya pula lari daripada elemen klise seperti cinta.
Menurut Mhai, album yang memuatkan sembilan lagu itu menakluk capaian isu lebih besar dan sarat mesej penting, dengan intipati yang bertuntas daripada pelbagai kisah kemasyarakatan.
“Konsep muzik Stereoangel adalah berpaksikan rock moden dan mesej lagu-lagu kami jauh lebih besar mengenai isu-isu semasa. Bukan juga semata tertumpu kepada satu isu saja.
“Macam sesetengah band memilih ketengahkan lagu cinta saja kan? Kami pula pelbagaikan genre karya di mana ada terselit lagu raya dan patriotik. Lari sedikit dari lagu yang selalunya berkisar cinta,” katanya.
Lebih bermakna, Abstraksasi terbitan Mesqa Entertainment itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Mycreative Ventures.
Justeru, besar harapan mereka agar album ini mendapat perhatian ramai serta membuka ruang lebih luas dalam perjalanan seni mereka.

Dari ‘Underground’ Ke Arus Perdana
Tambah Mhai, sokongan pelbagai pihak mampu membuka laluan kerjaya seni mereka untuk ‘terbang’ lebih tinggi.
Malah, matlamat utama Stereoangel sememangnya untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara.
“Terima kasih tidak terhingga keada Kementerian Komunikasi dan Mycreative Ventures kerana membantu bakat-bakat tempatan merelisasikan impian untuk mewarnai lagi industri muzik Malaysia.
“Semoga lagu-lagu kami diterima baik, mampu memasuki atau diberi peluang menyertai anugerah juara lagu dan akan ada lagu yang diambil sebagai runut bunyi untuk drama mahupun filem.
“Di samping itu, kami sedia dedikasikan diri untuk menjayakan tawaran persembahan dalam ataupun luar negara. Ini kerana kami memang sangat suka beraksi atas pentas dan hiburkan ramai,” katanya.
Pelancaran album tersebut juga menjadi bukti bahawa Stereoangel belum ‘berkubur’, meskipun hakikatnya kerjaya mereka di Sabah jarang didendang.
Mereka mengakui nama mereka tidak sekuat band atau artis lama yang lain.
“Jika ikutkan, kehadiran kami dalam industri muzik ada pasang surutnya dan memang pernah menyepi juga sebelum ini. Bagaimanapun cinta terhadap muzik tetap membara dalam diri.
“Kami sangat bersyukur album ini akhirnya jadi kenyataan dan ini masanya untuk menonjolkan semula nama kami. Kami berazam mahu memikat ramai lagi peminat khususnya Gen Alpha untuk dengar lagu kami.
“Album ini juga menjadi taruhan kami untuk cuba lakar nama dalam industri muzik arus perdana. Ini disebabkan kami bermula dari ‘underground’ dan sudah masanya kami maju ke depan,” kata Moli pula.
Ketika ini, Stereoangel giat mempromosikan single Ku Bukan Dewi Cinta yang muzik videonya (MV) sudah dilancarkan di YouTube rasmi AJ Productions Sdn Bhd.
Selain bersedia memasuki corong radio tempatan serta platform penstriman muzik, sebuah lagu daripada Abstraksasi iaitu Bukan Kehendakku turut dirancang untuk dimainkan di 50 stesen radio Indonesia secara serentak selepas ini.
Majlis pelancaran album Abstraksasi, video muzik serta showcase Stereoangel pula telah berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kota Kinabalu, Sabah pada November lalu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




