
Selain kategori Filem Terbaik, dua anugerah yang paling dinantikan setiap kali penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ialah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.
Dua kategori ini sering menjadi tumpuan bukan hanya dalam kalangan penggiat industri, tetapi juga peminat yang mengikuti rapat perkembangan dunia perfileman tempatan.
Malah ia dianggap simbol tertinggi dalam dunia lakonan Malaysia iaitu satu pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan dan evolusi seorang pelakon dalam memberi makna kepada watak di layar perak.
Pasa edisi FFM ke-34, kategori ini dilihat antara yang paling sengit dalam sejarah mutakhir penganjuran.
Barisan calon datang daripada pelbagai latar filem iaitu daripada aksi berskala besar hingga ke drama psikologi dan kisah kekeluargaan yang sarat emosi.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, lima calon utama ialah Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
Setiap calon menampilkan gaya dan kekuatan berbeza, menggambarkan keluasan spektrum lakonan tanah air.
Sharnaaz Ahmad kini berada di kemuncak momentum hasil kejayaan besar Blood Brothers: Bara Naga, filem aksi-drama pecah panggung dengan kutipan lebih RM76 juta.
Watak yang menuntut kekuatan fizikal dan kedalaman emosi itu menjadi bukti ketekunan Sharnaaz dalam memberikan persembahan penuh intensiti.
Namun, Beto Kusyairy dilihat sebagai pencabar paling kuat dengan lakonan mendalam dalam Reversi.
Kritikus filem menyifatkan lakonannya sebagai ‘tenang di luar, bergolak di dalam’, membuktikan keberaniannya bereksperimen dan keluar dari zon selesa.
Sementara itu, Qi Razali tampil menyentuh perasaan menerusi Babah, membawakan watak seorang ayah yang kehilangan pendengaran dengan penuh kejujuran.
Lakonannya yang sederhana namun sarat emosi menjadikannya antara persembahan paling berkesan.
Dalam masa sama, Aeril Zafrel dan Tony Eusoff turut menyerlah menerusi Aeril dengan sisi gelap dan intens dalam Laknat, manakala Tony pula menawan hati dengan karisma sebagai peniru gaya Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee dalam Mencari Ramlee.

Lakonan Wanita Sarat Emosi & Karisma
Dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pula, lima calon yang bersaing ialah Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).
Setiap satu menghadirkan aura tersendiri dengan keunikan gaya lakonan masing-masing.
Nabila Huda sekali lagi membuktikan kelas tersendiri apabila tampil tanpa dialog dalam Telaga Suriram, sebuah naskhah yang menuntut keintiman emosi dan ekspresi tubuh yang kompleks.
Lakonannya matang, penuh rasa menerusi gabungan ketakutan, dendam dan kelembutan yang sukar dijangka.
Datin Sofia Jane pula mempersembahkan watak sarat simbolik dan bernuansa dalam Mencari Ramlee, menjelmakan keanggunan dan pesona klasik yang mengimbau nostalgia sinema lama.
Sweet Qismina, meskipun muda, berjaya menyentuh hati penonton dengan persembahan tulus dan penuh kasih dalam Babah.
Lakonannya tidak berlebihan, malah sangat seimbang dalam menghidupkan hubungan bapa dan anak yang menyayat jiwa.
Dalam masa sama, Khatijah Tan menampilkan kekuatan karakternya sebagai pelakon berpengalaman, sementara Maya Karin kekal versatil dengan gaya lakonan dramatik dan bersahaja yang menjadi identiti tersendiri.
Secara keseluruhan, kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik FFM34 membuktikan bahawa mutu lakonan Malaysia kini berada di tahap membanggakan.
Sama ada juri mahu menonjolkan keberanian artistik seperti Beto Kusyairy dan Sofia Jane, atau menekankan penghayatan emosi seperti Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda, tahun ini menyaksikan pertandingan yang benar-benar sengit.
Festival Filem Malaysia ke-34 bakal berlangsung pada 1 November di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, dan disiarkan secara langsung di TV2, dengan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai hos utama.
Tahun ini, kategori Filem Terbaik menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta, sementara kategori lakonan kekal sebagai lambang tertinggi kecemerlangan individu dalam seni lakon tempatan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




