
Pelakon terkenal dari China, Fan Bingbing, menerima penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk Kehormat sempena sambutan ulang tahun ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada 24 Ogos lalu.
Majlis pengurniaan tersebut berlangsung penuh istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh, dengan kehadiran tokoh-tokoh kenamaan, pemimpin negeri dan para penerima darjah kebesaran lain.
Fan Bingbing yang tampil anggun dalam persalinan tradisional baju kurung siap dengan selendang rekaan Melinda Looi turut dilihat menyampaikan penghargaan penuh emosi terhadap pengiktirafan yang diterimanya.
“Saya amat berbesar hati dan menganggap gelaran ini sebagai satu hadiah yang sangat berharga. Saya berjanji akan terus mempromosikan keindahan dan keunikan Melaka di peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Penganugerahan ini bukan sekadar penghormatan simbolik, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap usaha Fan Bingbing mempromosikan Melaka melalui pelantikan beliau sebagai Tourism Friendship Ambassador bagi kempen Visit Melaka Year 2024 sejak Mei tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, kehadiran bintang filem antarabangsa yang membintangi filem terkeal seperti X-Men dan I am Madame Bovary itu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri.
Berdasarkan statistik rasmi, jumlah pelancong dari China ke Melaka mencatatkan peningkatan mendadak daripada 204,818 orang pada tahun 2023 kepada 664,687 orang pada tahun 2024, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda.
Kempen promosi digital yang dijalankan oleh Fan Bingbing di platform media sosial China seperti WeChat dan Weibo turut mencatat lebih daripada 1.5 bilion capaian (impressions) serta lebih 1.2 bilion carian berkaitan Melaka. Keupayaan beliau menarik minat masyarakat China terhadap negeri ini dilihat sebagai faktor utama kejayaan kempen tersebut.
Dengan penganugerahan ini, Fan Bingbing menyertai senarai tokoh dan selebriti antarabangsa yang pernah menerima darjah kebesaran di Malaysia, termasuk bintang Bollywood, Shah Rukh Khan, dan legenda aksi Hong Kong, Jackie Chan.
Penganugerahan seumpama ini lazimnya diberikan kepada individu luar negara yang telah menyumbang secara langsung kepada pembangunan imej Malaysia di mata dunia.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




