
Pertandingan fotografi kebangsaan ‘Eyes on the Wild’ anjuran WWF-Malaysia dengan kerjasama Astro dan Love Nature membuka ruang baharu buat rakyat Malaysia meraikan keindahan biodiversiti negara sambil menyemai kesedaran terhadap pemuliharaan alam semula jadi.
Bermula dari Julai hingga September 2025, pertandingan ini menghimpunkan jurugambar amatur dan profesional seluruh Malaysia untuk mengetengahkan hasil karya kreatif mereka yang merakam keunikan flora dan fauna tempatan.
Kemuncaknya diraikan menerusi pameran umum di The LINC KL yang merupakan penaja lokasi rasmi bermula dari 29 Oktober hingga 4 November 2025, menampilkan 20 karya terbaik hasil lensa jurugambar berbakat.
Menurut Pengarah Pemasaran dan Komunikasi WWF-Malaysia, Rozzana Basri, pertandingan ini bukan sekadar platform untuk menonjolkan bakat, tetapi juga satu cara halus untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai alam sekitar.

“Di WWF-Malaysia, kami percaya bahawa pemuliharaan bermula dengan kesedaran. Harapan saya agar pertandingan Eyes on the Wild ini membolehkan kita sebagai sebuah negara melihat alam melalui lensa empati dan kreativiti.
“Kami berharap ia bukan sahaja menggalakkan masyarakat untuk mengagumi keindahan alam, tetapi juga menanam rasa tanggungjawab untuk memeliharanya, sesuatu yang amat diperlukan dunia pada masa kini,” katanya.
Pertandingan ini dibuka kepada dua kategori iaitu Belia (18–24 tahun) dan Dewasa (25 tahun ke atas). Penilaian pula mengambil kira elemen kreativiti, komposisi, jalan cerita serta kesesuaian tema dan subjek foto.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, mencerminkan semangat masyarakat dalam menyokong usaha pemuliharaan. Daripada semua penyertaan, 20 karya terbaik dipilih dan kini menghiasi ruang pameran di The LINC KL untuk tatapan umum.
Pemenang bagi kedua-dua kategori diumumkan pada 20 Oktober 2025, dengan hadiah berupa wang tunai serta barangan eksklusif daripada WWF-Malaysia dan Love Nature sebagai dorongan agar mereka terus berkarya dan mengangkat mesej pemuliharaan.
Kerjasama bersama Astro dan Love Nature turut membantu memperluas capaian kempen ini menerusi platform siaran, digital dan dokumentari yang membolehkan mesej pemuliharaan sampai ke khalayak yang lebih luas.
Bagi penggemar seni dan alam semula jadi, pameran ‘Eyes on the Wild’ di The LINC KL kini dibuka hingga 4 November 2025. Setiap foto bukan sekadar gambar, ia adalah kisah tentang keindahan, keberanian dan hubungan manusia dengan alam yang semakin rapuh.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




