
Selepas bersiaran selama 22 episod, drama sensasi Impiana: Karma akhirnya melabuhkan tirai menerusi episod akhir yang penuh debaran, dengan menyusun kemas segala konflik, dendam dan rahsia yang selama ini membelenggu watak-watak utamanya.
Selepas beberapa episod terakhir yang sarat dengan permainan emosi dan plot twist, episod final tampil sebagai ‘penutup hutang’ apabila setiap pilihan yang dibuat sebelum ini akhirnya memakan diri.

Apa yang bermula sebagai peluang untuk mengubah hidup bertukar menjadi mimpi ngeri apabila janji manis Impiana terbukti bukan jalan mudah, sebaliknya sebuah perangkap yang menuntut bayaran mahal.
Malah, dendam kesumat yang selama ini disimpan oleh Mimi Monira yang dilakonkan oleh Ezzanie Jazny yang suatu ketika dahulu merupakan mangsa buli mental dan fizikal, nampaknya masih belum berkesudahan.

Sehingga ke episod akhir, Mimi nampaknya tidak pernah serik dan mengalah untuk memastikan The Wannababes hidup tersiksa.
Sepanjang 22 episod ini, penonton juga dapat menyaksikan perancangan rapi Mimi Monira yang mempergunakan syarikat Impiana milik seorang individu kehormat untuk membalas dendam terhadap setiap seorang ahli The Wannababes, termasuklah orang-orang di sekeliling mereka.

Episod akhir turut menekankan mesej utama drama ini, iaitu apabila impian dikejar tanpa batas, manusia sanggup hilang diri. Akhirnya, karma tetap datang menuntut bayaran.
Plot Twist Yang Buat Penonton Ternganga
Episod akhir ini bermula dengan konfrontasi di antara Mimi Monira dan Fasha (Che Puan Juliana Evans) yang agak menegangkan.
Fasha yang dilihat amat menyesali segala perbuatan lampaunya memohon kepada Mimi agar menghentikan segala perancangan dendam dan melepaskan kesemua rakan-rakannya daripada terus tersiksa.

Meskipun hatinya berbelah bahagi, Mimi bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan segala perancangan yang telah ditetapkan Impiana.

Dalam masa yang sama, Nana (Sharifah Haneesya) masih terperangkap sebagai tahanan penjara wanita, manakala Paie (Syazwan Razak) turut berada dalam tahanan selepas ‘dikambing hitamkan’ terbabit dalam kemalangan maut yang menyebabkan kematian ibu bapa Linda (Tiz Zaqyah).
Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam minda penonton. Adakah Mimi juga sebenarnya merupakan salah seorang peserta yang mendaftarkan diri dengan Impiana dan bukannya bekerja di syarikat misteri tersebut?
Mimi Benar-Benar Mautkah? Mana Mayatnya?
Episod kemuncak ini turut menyaksikan pertemuan diantara Mimi dan The Wannababes. Namun begitu, babak ini secara tidak langsung membuatkan penonton berasa sayu apabila didedahkan dengan pengalaman hitam yang terpaksa dilalui Mimi sepanjang menjadi mangsa buli ketika di sekolah.

Sepanjang tempoh tersebut, Mimi kerap mempersoalkan takdir tuhan yang menjadikan dirinya gemuk dan tidak diterima rakan-rakan sekolah.
Malah, dia juga masih terkesan dengan insiden kematian sahabat baiknya, Shazle, yang turut menjadi mangsa buli.

Ketika asyik meluahkan perasaan, Mimi tidak menyedari keadaan bangunan usang di sekelilingnya sehingga menyebabkan dia tergelincir.

Walaupun tangannya sempat disambut oleh The Wannababes, Mimi akhirnya memutuskan untuk melepaskan genggaman tersebut lalu terjatuh.

Apa yang menjadi persoalan, mayat Mimi didapati hilang dan masih tidak dapat ditemui di lokasi kejadian.
Selepas insiden itu, kesemua kegiatan Impiana terhenti dan seakan menyepi apabila operasi mereka kini berada dalam pemerhatian pihak polis yang diketuai oleh Amir (Nas-T).

Bagaimanapun, Fasha menerima mesej mengejutkan daripada nombor yang tidak dikenali yang memaparkan video memperlihatkan Mimi masih lagi hidup.
Dalam mesej tersebut, Mimi memberi amaran bahawa dendamnya masih belum berkahir dan dia mempunyai perancangan lebih khusus untuk menghancurkan The Wannababes.

Gambaran mengenai pulau terpencil itu turut menimbulkan tanda tanya. Lebih mengejutkan, Fasha secara sukarela menawarkan diri dengan mendaftar masuk ke Impiana untuk mencabar Mimi dan membatalkan segala ancaman yang diterima mereka selama ini.

Adakah ini menandakan bakal adanya Impiana: Karma musim ke-2? Sama-sama kita saksikan nanti.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




