
Dunia ratu cantik sekali lagi menyaksikan dominasi Filipina apabila wakilnya, Emma Mary Tiglao, diumumkan sebagai pemenang Miss Grand International (MGI) 2025 yang berlangsung gilang-gemilang di MGI Hall, Bangkok, Thailand, malam ini.
Pertandingan edisi ke-13 itu menghimpunkan 77 peserta dari seluruh dunia, namun Emma, 30, berjaya menambat hati juri menerusi penampilan yang anggun, keyakinan tinggi dan jawapan bernas dalam sesi soal jawab akhir yang menjadi penentu kemenangan.
Bekas penyampai televisyen dan model profesional itu tampil menguasai pentas dengan pesona tersendiri sejak pusingan awal lagi, malah persembahannya dalam kategori evening gown dan swimsuit turut mencuri perhatian ramai pemerhati dunia pageant.
Emma, yang lahir di Pampanga pada 8 Disember 1994, bukan nama asing dalam arena ratu cantik. Beliau pernah mewakili Filipina di beberapa pertandingan antarabangsa sebelum ini, namun kemenangan kali ini dianggap sebagai kemuncak kariernya selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam dunia kecantikan dan fesyen.
BACA JUGA: Viviana Lin Winston Tidak Berjaya Lolos Ke Peringkat Top 22 Miss Grand Grand International 2025
Kemenangan Emma sekali gus mengekalkan reputasi Filipina sebagai antara negara kuasa besar dunia ratu cantik selepas beberapa wakilnya sebelum ini turut berjaya menempah nama di pentas antarabangsa seperti Miss Universe, Miss International dan Miss Earth.
Tempat kedua dimenangi wakil Thailand manakala wakil Sepanyol pula berjaya menduduki tempat keiga. Wakil Ghana dan Venezuela pula menelengkapkan kedudukan di tempat keempat dan kelima.
Penganjuran tahun ini turut mencipta rekod tersendiri dengan penyertaan tertinggi sejak MGI ditubuhkan pada 2013, selain menampilkan pembaharuan dalam syarat umur peserta antara 18 hingga 35 tahun bagi memberi peluang lebih luas kepada wanita matang dan berpengalaman.
Wakil Malaysia, Viviana Lin Winston tidak berjaya mengekalkan kejayaan Melisha Lin yang bergelar 5th runner-up dalam edisi tahun lalu apabila beliau gagal mara ke peringkat top 22 pada malam grand finale sebentar tadi.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan