
Ibu kepada penyanyi terkenal Ziana Zain dan Anuar Zain, Robiah Abdul, 74, meninggal dunia akibat kanser kira-kira jam 10.44 malam tadi di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor.
Ziana memaklumkan, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina pagi ini.
“Emak menghembuskan nafas terakhir di depan mata saya dan pergi selepas nazak di hospital malam tadi.
“Semua adik beradik sempat menghadap Mak dan kami reda dengan pemergian insan kesayangan kami.
“Ampunkan segala dosa Mak saya dan doakan arwah Mak ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah,” katanya.
Ziana turut menambah, pemergian ibunya berlaku selepas kira-kira 100 hari mereka sekeluarga kehilangan bapa tersayang iaitu pada 26 Ogos lalu.
“Mereka memang sehati sejiwa, kami reda dan saya sempat berjanji kepada arwah Mak akan jaga semua adik beradik,” katanya lagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini