
Setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, antara perkara yang sering dinantikan ramai bukan sekadar persiapan baju baharu atau juadah raya, tetapi juga kemunculan iklan raya sama ada di kaca TV atau di media sosial.
Pelbagai latar iklan dipaparkan, daripada kisah menyentuh hati hingga membuatkan penonton mengalirkan air mata dan tidak kurang juga yang membawa elemen komedi serta nostalgia indah kehidupan.
Malah setiap tahun, iklan raya seolah-olah menjadi sebuah tradisi yang menghidupkan lagi kemeriahan menjelang Syawal.
Sebagai pendahulu kandungan hiburan tanah air, Astro juga tidak ketinggalan menerbitkan iklan raya yang selari dengan tema kempennya tahun ini, iaitu ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’.

Iklan raya terbaharu itu membawa mesej yang cukup dekat dengan suasana kampung dan realiti masyarakat menjelang Aidilfitri.
‘Bila Bersama, Lagi Jadi’ diangkat sebagai naskhah filem pendek berdurasi kira-kira 15 minit, memaparkan kisah dua sahabat lama yang kembali bertemu di kampung halaman, namun hubungan mereka menjadi dingin akibat konflik lama yang tidak pernah diselesaikan.

Persaingan Ego Dalam Pesta Panjut Raya
Watak Samad dan Razak yang dibawakan oleh dua pelakon prolifik tanah air, Adlin Aman Ramlie dan Faizal Hussein, digambarkan bersaing dalam pertandingan Pesta Panjut Raya di kampung mereka.
Persaingan tersebut pada awalnya sekadar gurauan, namun akhirnya bertukar menjadi simbol kepada ego dan rasa tidak puas hati yang dipendam sejak sekian lama.

Samad yang juga juara lima tahun berturut-turut berasa tercabar dengan kehadiran Razak yang baru sahaja pulang kekampung halaman selepas sekian lama menghilang.
Sepanjang jalan cerita, penonton disajikan dengan pelbagai elemen komedi serta nostalgia suasana kampung seperti gotong-royong, persiapan raya dan kemeriahan pertandingan pelita yang menjadi tradisi masyarakat.

Namun di sebalik konflik tersebut, filem pendek ini sebenarnya membawa mesej yang lebih besar tentang erti memaafkan dan kepentingan kebersamaan dalam komuniti.
Pengarahnya, Hyrul Anuar, ingin memaparkan bahawa sifat sombong dan ego akhirnya hanya akan memakan diri sendiri.
Kreativiti Atasi Keangkuhan
Dalam keterujaan untuk menjadi juara Pesta Panjut Raya, Samad bertindak memborong semua jenis buluh yang dijual di kampung sehingga tidak memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding secara adil.
Razak bagaimanapun enggan mengaku kalah. Sebaliknya, dia menyahut cabaran tersebut dengan menggunakan idea bernas serta kreativiti untuk mencipta panjut daripada barangan terpakai.

Akhirnya, Razak diumumkan sebagai juara manakala Samad pula terpaksa kehilangan rumah akibat kebakaran yang berlaku kerana kecuaian sendiri.
Pengakhiran cerita menyaksikan kedua-dua watak menyedari bahawa perselisihan lama hanya merugikan mereka dan memecah-belahkan suasana kampung yang sepatutnya meriah menjelang Hari Raya.
Pengajarannya, iklan raya ini mengingatkan bahawa Syawal bukan sekadar tentang kemeriahan, tetapi juga waktu terbaik untuk melupakan sengketa lama, merapatkan hubungan serta menghargai orang di sekeliling.

Kesimpulannya, melalui kisah ringkas yang dekat dengan kehidupan masyarakat, Astro menekankan bahawa semangat raya akan lebih bermakna apabila diraikan bersama, selarid engan tema yang diangkat iaitu “Bila Bersama, Lagi Jadi.”
Iklan ini turut menampilkan barisan artis popular lain seperti Meerqeen, Mierul Aiman, Alpha, Bell Ngasri, Noryn Aziz dan ramai lagi.
Jom sama-sama tonton iklan raya Bila Bersama, Lagi Jadi di saluran YouTube, Astro Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!





