Bekas anggota kumpulan idol popular Korea, Lee Ji Hyun daripada kumpulan Jewelry kini berjaya menempa nama dalam bidang kecantikan apabila beliau bergelar pendandan rambut profesional.
Selepas meninggalkan dunia hiburan, Ji Hyun tekad mendalami bidang kecantikan sehingga memperoleh lesen sah sebagai hair designer. Sepanjang tempoh itu, beliau turut membahagikan masa sebagai ibu kepada dua cahaya mata.
Kerjaya baharunya mula berkembang sejak 2023 dan kini semakin mendapat perhatian pelanggan. Ji Hyun sendiri tidak menyangka sokongan yang diterima begitu luar biasa.
“Saya sangat bersyukur. Terima kasih atas minat semua, tempahan bagi bulan September sudah penuh. Saya akan membuka tempahan Oktober tidak lama lagi. Anda tahu, tidak boleh ada no-shows langsung, bukan? Kepada yang bakal hadir, datanglah dengan hati yang tenang dan jiwa yang ikhlas,” katanya.
Ads
Ji Hyun bersama dua anaknya.
Kejayaan ini menunjukkan figura hiburan mampu berjaya dalam bidang lain apabila disertai usaha gigih dan kesungguhan. Maklum balas pelanggan turut membuktikan kerja tangan Ji Hyun memberikan impak positif.
Seorang pelanggan turut menyifatkan hasil sentuhan Ji Hyun bukan sahaja mengubah penampilan, tetapi memberi kelegaan emosi kerana “hair & heart feel lighter.”
Ads
Perjalanan baharu Ji Hyun kini menjadi inspirasi bahawa perubahan besar dalam hidup mampu direalisasikan apabila disertai iltizam dan keberanian untuk memulakan langkah baharu.
Ads
Ji Hyun memulakan kariernya dalam dunia hiburan pada 1998 menerusi kumpulan multinasional yang dinamakan Circle. Namun kemudiannya pada 2001 dia menyertai kumpulan Jewelry dan menempa nama popular.
Meninggalkan Jewelry pada 2006, Ji Hyun melalui detik sukar dalam hidup apabila melalui dua proses perceraian di samping membesarkan dua anaknya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan pengacara, Joey Daud akui agak sedih kerana tidak dapat hadir dan memberikan sokongan buat isteri yang juga anggota kumpulan Elite, Watie Sadali di konsert ‘Elite Live 25’ berikutan komitmen kerja sebagai hos program Kilauan Emas 2025 (KE2025) yang turut berlangsung malam tadi.
Menurut Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, sebagai suami, dia jarang terlepas untuk menyambut momen-momen istimewa bersama isteri tercinta.
“Perasaan saya agak bercampur baur. Saya terima rezeki di Kilauan Emas 2025 ini lebih awal sebelum dapat tahu mengenai penganjuran konsert isteri saya.
“Sudah semestinya dan saya tidak menipu yang perasaan saya memang sangat sedih. Selalunya, untuk perkara kecil sekali pun, saya akan sentiasa ada untuk isteri saya.
“Inikan pula momen istimewa iaitu konsert terbesar Elite. Sejujurnya, ketika ini, agak sukar untuk saya mengeluarkan kata-kata,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Wamwamsam itu berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir konsert KE2025 di Royal Theatre, Shah Alam pada Sabtu.
Bagaimanapun, Joey akui dia tidak pernah putus menitipkan doa agar konsert Elite sukses dan berjalan lancar.
“Saya hanya titipkan doa. Terima kasih juga buat orang-orang di sekeliling saya yang turut merasai kesedihan saya ini.
“Malah, saya juga dapat rasakan, pada malam ini (Sabtu), Elite pasti sudah memberikan persembahan yang terbaik untuk semua peminat yang datang menonton,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Joey akui dia bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memahami jadual kerja seorang anak seni.
“Saya tahu dia faham mengenai jadual kerja saya. Namun, siapa yang tak sayangkan isteri? Saya boleh baca dari reaksi dan riak wajahnya. Saya tahu dia pun sedih.
“Dia adalah tunjang utama dalam hidup saya. Begitu juga saya pada dia. Apapun, saya sentiasa menghubungi dan memberikan kata-kata semangat.
“Saya tak boleh nak bercakap lagi. Mata ini seperti sudah berkaca,” akhirinya.
Terdahulu, konsert Elite Live 25 berlangsung meriah di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), malam tadi.
Sekadar informasi, Joey dan Watie mendirikan rumah tangga pada Disember 2011 dan ini merupakan perkahwinan kedua buat mereka.
Pasangan ini masing-masing mempunyai seorang anak hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Seramai lebih 30 selebriti termasuk penyanyi dikir dan penceramah dijangka bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.
Festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group ini mengetengahkan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ serta bakal melibatkan ramai selebriti yang dekat di hati masyarakat tempatan.
Wakil penganjur merangkap koordinator KC Fest, Muhammad Nazrin Mohamad Isa berkata, penglibatan artis memainkan peranan penting untuk menarik orang ramai ke program amal ini.
Antara selebriti yang bakal menjayakan festival ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi, termasuk lebih 20 penyanyi dikir.
“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya. Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.
“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya yang mensasarkan 50,000 pengunjung ke KC Fest kali ini.
Selain persembahan artis dan pelbagai gerai jualan, pengunjung juga akan disajikan dengan aktiviti lain seperti Kelate Charity Walk yang bakal dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Segmen Malam Kerohanian pula akan menyaksikan 1111 peserta selawat dalam Selawat Perdana, disertai sesi perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
Manakala Malam Kebudayaan akan memecah rekod dengan persembahan 1111 pendikir di satu pentas besar sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin menjelaskan KC Fest 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada penaja termasuk Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Menurutnya, festival ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial dan usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat. Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. Insya Allah, kami sasarkan sebanyak RM500,000 untuk tabung tersebut.
“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kelantan dipilih sebagai lokasi kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang kuat.
“KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar. Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.
“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya.
Kamal Azmi turut berharap KC Fest dapat menjadi simbol perpaduan rakyat.
“Harapan kami agar KC Fest menjadi sebuah platform tahunan yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi juga membina semangat bersatu hati dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami mahu jadikan Kelantan contoh kepada negeri-negeri lain di mana budaya, hiburan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu festival.
“Insya Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” tambahnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Syafiq Sahli bersama rakan kolaborasinya, Boss Wan, menepis tanggapan bahawa kerjaya sebagai pencipta kandungan TikTok tidak menjanjikan masa depan.
Menurut Boss Wan, yang juga bekas peserta program Raise The Star terbitan Astro, masih ramai memandang rendah platform berkenaan walhal industri hiburan di media sosial kini bernilai tinggi.
“Kalau ia tidak menjana pendapatan, sudah tentu kami tidak akan serius melabur masa dan tenaga. Untuk menghasilkan kandungan, modal yang diperlukan juga bukan sedikit.
“Sebagai contoh, bahan kandungan penerokaan paranormal memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi jelajah seluruh Malaysia.
“Kami juga ada perancangan untuk ke Jepun khususnya di Hutan Aokigahara yang mana kos keseluruhan boleh mencecah RM100,000,” katanya.
Boss Wan berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani pelantikan beliau dan Syafiq Sahli sebagai duta Empire Reka cawangan Klang, baru-baru ini.
Sementara itu, Syafiq menjelaskan meskipun ramai melihat aktiviti penstriman langsung hanya sebagai hiburan, kos di sebaliknya jauh lebih besar.
“Malah hasil daripada ‘gift’ TikTok hanya mampu menampung kira-kira 40 peratus sahaja. Selebihnya, kami perlu mencari sumber lain.
“Namun prinsip kami, tidak menggunakan duit perniagaan lain untuk menampung kandungan. Kami asingkan siap-siap, ada simpanan peribadi, ada simpanan bisnes dan ada simpanan khusus untuk kandungan,” jelasnya.
Mengulas pandangan bahawa kerjaya TikTok tiada masa depan, Syafiq dan Boss Wan menegaskan ia mungkin berpunca daripada kegagalan sesetengah pihak menyusun strategi.
“Bagi kami, perancangan adalah kunci. Jadual kerja telah kami atur sehingga hujung tahun ini. Jika pandai mencatur, kerjaya ini bukan sahaja ada masa depan malah boleh menjadi platform bisnes jangka panjang,” kata mereka.
Menyentuh pelantikan sebagai duta dan pemegang saham Empire Reka pula, Syafiq menyifatkan kerjasama itu satu peluang luar jangka memandangkan mereka tidak pernah terbabit dalam perniagaan perabot sebelum ini.
“Asalnya kami cuma rebiu kedai di Sungai Petani, Kedah, tapi akhirnya diberi kepercayaan untuk jadi duta dan pemegang saham cawangan di Klang.
“Bagi kami, ia satu benda baru dan ini satu amanah besar, tanggungjawab pun sangat berat. Kami harap boleh bawa dengan baik sebab kebetulan, kami berdua memang jenis suka cabar diri.
“Memang kami bukan dalam ‘line’ pemasaran ini. Malah, bahan kandungan kami pun lebih kepada hiburan. Maka jika diubah kepada pemasaran, memang ambil masa. Tak boleh anggap buat video hari ini, esok terus dapat ‘sales’.
Ditanya mengapa mereka dipilih, Syafiq percaya ia berkat konsistensi mereka dalam menghasilkan kandungan di media sosial.
“Mungkin sebab konsistensi. Dia memang tengok TikTok, nampak kami selalu masuk FYP. Bila dah selalu muncul, orang mula kenal muka.
“Selain paranormal, kami pernah buat bahan kandungan lain juga. Bezanya kali ini, mereka betul-betul yakin dengan kita.
“Sampai sanggup bagi ‘showroom’ paling besar di Empire Reka. Hasrat kami adalah mahu mendekatkan dan memperkenalkan orang ramai dengan Empire Reka.
“Sebab ramai orang ingat barang Empire Reka semua mahal. Sebenarnya tidak, ada kategori berbeza. Lebih menarik, mereka ada kilang sendiri, bukan ambil barang dari pembekal luar,” ujarnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!