
Hampir dua tahun tidak muncul di kaca televisyen, pelakon Datin Niena Baharun menafikan dakwaan bahawa suaminya tidak mengizinkannya meneruskan kerjaya seni.
Menurut Niena atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, keputusan untuk berehat seketika dibuat kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.

“Ramai yang bertanya, kenapa saya tidak berlakon lagi? Suami tak izin ke? Alhamdulillah, suami tiada sebarang masalah dengan kerjaya saya sebagai pelakon. Dia tidak pernah menghalang.
“Namun, bila sudah berkeluarga, kita ada kekangan dari segi masa. Beberapa tahun sebelum ini, anak-anak masih kecil. Fokus kami memang pada mereka.
“Kini, usia mereka sudah mencecah tujuh dan lima tahun. Mereka kini sudah semakin faham. Dua tahun sebelum ini, saya berehat kerana anak-anak menyusu badan.
“Kebanyakkan penggambaran memerlukan outstation. Jadi saya terpaksa tolak,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Niena turut memaklumkan suaminya, Datuk Aliff Firdaus sentiasa menyokong kerjayanya sebagai anak seni sejak awal perkenalan mereka hampir 14 tahun lalu.

“Suami saya sangat menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Sebelum berkahwin, saya sudah berkenalan dengan suami hampir tujuh tahun.
“Kini, usia perkahwinan kami sudah memasuki tujuh tahun juga. Sudah 14 tahun kami mengenali hati masing-masing. Dia sangat memahami.
“Dia tahu lakonan ini memang kerjaya dan minat saya sejak dahulu lagi. Saya akan kembali aktif berlakon selepas ini tapi tetap bergantung kepada masa dan jalan cerita,” ujarnya lagi.
Pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz itu juga tidak pernah berasa rugi meskipun terpaksa meninggalkan dunia lakonan ketika namanya sedang berada di puncak.

“Saya tak pernah rasa rugi. Saya selesa dengan kehidupan saya saat ini sebagai seorang ibu. Pada saya, berlakon ini hanyalah pekerjaan sampingan. Namun, ini memang minat saya.
“Selama dua tahun ini, saya menjalani hidup bersama anak-anak dan keluarga. Dalam tempoh itu, ada juga yang beri tawaran tapi waktunya tidak sesuai.
“Penggambaran memakan masa berbulan-bulan. Kita juga akan penat. Anak-anak pula sedang di fasa yang memerlukan. Suami saya juga sibuk. Takkanlah kita nak harapkan semuanya kepada pembantu?,” kongsinya.
Kembali Bergandingan Dengan Raja Afiq
Sementara itu, Niena memaklumkan dia bakal kembali bergandingan dengan pelakon Raja Afiq menerusi sebuah projek filem yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.
“Ramai yang mengharapkan untuk drama Sayangku Kapten Mukhriz musim kedua. Pada mulanya, kami memang nak buat drama tersebut.
“Namun, disebabkan drama tersebut melibatkan banyak pihak, jadi kami tukar kepada filem. Saya tetap akan bergandingan dengan Raja Afiq tapi jalan ceritanya berbeza.
“Raja Afiq sendiri yang minta untuk bergandingan dengan saya. Dia sendiri yang mesej ajak berlakon bersama.
“Kami memang tidak berhubung lagi selepas masing-masing berkahwin. Jadi, saya terima tawaran ini. Jalan cerita dan skrip juga menarik. Doakan yang terbaik,” akhirinya.
Untuk rekod, Niena mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada 1 Februari 2018. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Adiel Mikael dan Alyssa Marissa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




