Categories: Berita Hiburan

Dentum Romantis Bakal Gegarkan Zepp KL, Romantic Echoes Tampil Solo Pertama Kali Di Malaysia Februari Ini!

Share

Selepas mencipta fenomena di Nyala Fest tahun lalu, kumpulan indie terkenal dari Indonesia, Romantic Echoes bakal mengadakan persembahan solo pertamanya sempena ‘Dentum The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia’ di pentas Zepp Kuala Lumpur buat julung kalinya pada 6 Februari depan.

Persembahan istimewa itu turut menampilkan artis tempatan iaitu kumpulan Midnight Fusic sebagai artis jemputan yang akan membuka tirai konsert berkenaan.

Permintaan Tinggi Peminat Beri Semangat

Jurucakap penganjur merangkap pengurus projek, Azreel Azhar berkata, penganjuran konsert Romantic Echoes dibuat susulan permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan peminat tempatan.

“Persembahan Romantic Echoes mendapat sambutan hangat sempena Nyala Fest pada prnghujung November 2024.

“Justeru, ia menjadi pemangkin untuk pihak Neptunes Presents menganjurkan persembahan Romantic Echoes secara solo untuk memenuhi permintaan peminat tempatan.

“Neptunes Presents dan pengurusan Romantic Echoes kini bertungkus lumus untuk menyajikan persembahan malam yang luar biasa disulami dengan elemen kejutan buat peminat,” katanya.

Menurut Azreel lagi, Romantic Echoes dijangka mempersembahkan sebanyak 18 rangkaian lagu popular daripada empat buah albumnya termasuk beberapa lagu yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.

Antara lagu hits kumpulan itu termasuk Persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi

.

Konsep Berbeza & Momen Romantis

“Dari segi kelainan, pastinya persembahan solo yang pertama Romantic Echoes di Malaysia akan menampilkan elemen dan konsep yang berbeza dari persembahan sebelum ini khususnya buat peminat dan kelab peminat Divisi Romantis.

“Konsert ini akan menjadi suatu momen yang meninggalkan kenangan indah dan romantis bersama Romantic Echoes kerana persembahan kali ini diadakan di Zepp KL yang juga pentas yang dekat dengan peminat serta tidak asing buat peminat tempatan.

“Hubungan erat Romantic Echoes dan peminatnya di Malaysia iaitu Divisi Romantis Malaysia hanya berkomunikasi di platform media sosial sebab itu Romantic Echoes juga tidak sabar untuk mengadakan persembahan solo pertama di sini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Romantic Echoes pernah mengadakan beberapa persembahan bersama kumpulan pemuzik tempatan seperti Fugo serta terlibat dalam beberapa acara muzik festival termasuk Nyala Fest 2024 dan Sound Circus yang dianjurkan oleh Art of Speed.

Tiket untuk menyaksikan showcase Romantic Echoes mula dijual kepada orang ramai bermula 30 Disember ini di platform Ticket Empire.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH