Categories: Berita Hiburan

Dayang Nurfaizah Pilih Kualiti, Belum Yakin Anjur Konsert Mega – “Saya Tak Nak Buat Sekadar Ala Kadar…”

Share

Lebih dua dekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air tidak menjadikan penyanyi, Dayang Nurfaizah terburu-buru untuk menganjurkan konsert mega solonya sendirii.

Penyanyi berusia 44 tahun itu mengakui masih belum memiliki keyakinan penuh untuk melakukannya, selain tidak mahu mengecewakan para peminat yang setia menyokong sejak dulu sehingga kini.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, sekiranya diberi peluang untuk mengadakan konsert besar-besaran, dia mahu memastikan ia benar-benar berkualiti dan bukan sekadar memenuhi syarat.

“Saya tak nak buat sekadar ala kadar demi nak tunjuk boleh buat konsert, tidak.

“Malah saya sendiri yang meyakinkan, memujuk diri sendiri sebab konsert ini bagi saya, kalau nak buat, memang kena betul-betul.

“Dalam kepala, ada imaginasi nak macam mana dari segi pentas, visual dan susunan muzik dan sebagainya. Semuanya dah ada dalam gambaran imaginasi saya.

“Bukan nak cakap terlalu lain daripada lain tapi rujukan saya semestinya artis luar negara.

“Tapi itulah, susah nak cari orang yang betul-betul faham sebab benda ini melibatkan kos, produksi, bunyi dan sebagainya,” jelasnya.

Penyanyi lagu Lemah itu berkata demikian ketika ditemui sejurus showcase Janji With Dayang Live In Penang di Top View @ KOMTAR, Pulau Pinang pada Sabtu.

Dayang yang mula dikenali menerusi single Hakikat Cinta 26 tahun lalu turut menekankan, keutamaan utamanya juga adalah peminat.

Dia mahu memastikan harga tiket konsert kelak tidak membebankan mana-mana pihak.

“Kalau boleh nak mereka (peminat) berseronok dan semua boleh datang. Itulah banyak benda yang perlu dipertimbangkan. Tak nak mereka terbeban beli tiket apa semua.

“Susah nak cari orang yang faham (sekepala), sanggup keluarkan kos. Kalau ada bajet, nak fokuskan dari segi kepedulian muzik itu sendiri,” katanya lagi. 

Showcase Bukti Kekuatan

Dalam pada itu, Dayang turut berkongsi rasa puas hati dengan kejayaan showcase semalam.

“Pertama kali buat kerja begini. Menyanyi di tingkat paling tinggi Komtar dengan tidak berbumbung (rooftop). Alhamdulillah, cuaca sangat mengizinkan, penonton yang hadir pun seronok dan muzik pun sedap. Ini yang saya nak.

“Showcase kecil sahaja tapi berlangsung seperti apa yang saya gambarkan. Mula-mula takut juga kot tengah nyanyi hujan.

“Tapi dah rancang kalau hujan, show must go on. Saya akan terus nyanyi tapi kalau lebat sangat berhenti seketika sampailah cuaca reda,” katanya.

Dalam persembahan itu, Dayang mempersembahkan barisan lagu daripada album baharu Janji termasuk Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya.

Tidak ketinggalan, dia juga mendendangkan lagu popularnya seperti Dayang Sayang Kamudan Mana Mungkin.

Showcase anjuran bersama Usanita Entertainment dan Mask Team itu bakal diteruskan di Kuala Lumpur di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September depan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH