
Selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta, pasangan selebriti popular Thailand, Davika Hoorne, 33, dan Ter Chantavit, 41, akhirnya mengikat tali pertunangan.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Davika menerusi satu hantaran video ringkas di laman Instagram miliknya pada Rabu.
Menerusi hantaran tersebut beliau memaparkan momen manis lamaran tersebut dan menulis kapsyen ringkas bertunang dan disertakan dengan emoji cincin berlian.
Video tersebut memaparkan pasangan berkenaan saling berhadapan dengan senyuman, manakala Davika kelihatan mempamerkan cincin pertunangan di jari manisnya.
Lamaran itu dilakukan dalam suasana ringkas namun bermakna, dengan Ter kelihatan kacak mengenakan kemeja putih manakala Davika tampil angun dalampersalinan gaun labuh renda.
Davika atau lebih dikenali sebagai Mai merupakan antara pelakon wanita paling menyerlah di Thailand. Antara siri popular yang pernah dibintanginya termasuk Dok Kaew (2011), Kularb Rai Kong Naai Taiwan (2014), Love Beyond Time (2017), My Ambulance (2019) dan Wanthong (2021).
Beliau turut mencuri tumpuan dalam siri Astrophile (2022), terbitan GMMTV, yang menggandingkannya bersama pelakon sensasi, Bright Vachirawit.
Sementara itu, Ter Chantavit juga bukan nama asing dalam industri hiburan Thailand. Pelakon lelaki itu sering tampil dalam filem-filem bergenre komedi dan dikenali menerusi lakonan bersahaja serta menghiburkan.
Antara karya terbaharunya ialah filem The Red Envelope di mana beliau memegang watak sebagai anggota polis, selain turut membintangi filem 404 Run Run.
Pertunangan pasangan ini menerima reaksi positif daripada peminat serta rakan artis yang rata-rata mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan mereka.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan