
Selepas berehat seketika ketika hamil dan melahirkan anak pertama, pelakon Mira Filzah tidak menyangka prosesnya untuk kembali aktif dalam industri seni dipermudahkan.
Menurut Mira, dia berasa sebak kerana kehadirannya masih diterima ramai, terutama selepas kejayaannya menerusi drama Curang Tanpa Niat, Gadis Masa, serta filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.
“Saya sudah lama berada dalam industri. Selepas itu, saya berehat sekejap kerana mengandung dan bersalin. Sebenarnya, memang lumrah sebagai pelakon wanita untuk punyai fasa ‘berehat seketika’ itu.
“Jadi, bila kita sudah berehat dan mahu kembali semula, ada kalanya bukan mudah. Lain orang, lain cabarannya.
“Alhamdulillah, perjalanan saya ini sangat lancar dan peluang yang diberikan juga sangat baik. Itu yang buatkan saya sebak. Ia seperti satu perjalanan dalam kerjaya saya,” katanya kepada MH.
Mira berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Hari Raya dan pop-up store Rizman Ruzaini di IOI City Mall, Putrajaya, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mira turut mendedahkan dia menerima e-mel daripada seorang individu yang memaklumkan lakonannya dalam filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu memberi impak besar dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, reaksi para penonton sangat positif. Malah, seperti yang dikongsikan di media sosial, saya ada menerima e-mel dari seorang individu. Saya sangat tersentuh dengan kata-katanya.
“Saya jadi sebak bila karya saya diterima dan disukai oleh penonton. Perkara seperti ini memang tak dapat dijangka. Kita tak boleh nak harapkan semua orang sukakan kita,” ujarnya.
Ditanya mengenai caranya mengekalkan momentum selepas berehat panjang, Mira ada jawapannya sendiri.
“Berserah dan tawakal itu memang penting, namun kita tetap kena usaha. Bagi pihak saya, bila diberikan tawaran, saya buat yang terbaik.
“Saya juga pergi ke kelas untuk perbaiki mutu lakonan,” katanya lagi.
Mira juga menghargai sokongan peminat yang tidak pernah pudar sejak awal pembabitannya dalam industri seni.
“Sehingga sekarang, kelab peminat masih lagi setia dengan saya. Malah, ketika saya berehat, kita tetap berhubung.
“Namun, dengan kemunculan drama dan filem baharu, saya kini punya kelompok peminat yang baharu dari kalangan generasi muda,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini