Hiburan

Da’i Syed Kekal Bersalah, Hukuman Penjara 10 Tahun Dan Tiga Sebatan Dikuatkuasakan

Share

Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan merogol seorang wanita pada 2019.

Menurut laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Adlin Abdul Majid, yang menolak rayuan tertuduh untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Mahkamah turut menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan lanjut.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keputusan Mahkamah Sesyen, selain menyifatkan keterangan yang dikemukakan tertuduh sebagai sekadar penafian semata-mata tanpa sokongan kukuh.

Dengan keputusan itu, Da’i Syed diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini, dan dibawa ke penjara pada hari yang sama.

Terdahulu, Da’i Syed didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah unit kondominium di Petaling Jaya pada 11 September 2019. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sekadar info, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail merupakan seorang penceramah bebas dan juga pelakon. Berusia 31 tahun, beliau berkahwin dengan hos televisyen, Hana Ismail, pada 3 Disember 2022. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA