
Usahawan yang juga penyanyi, Cheta Pot Pet menjelaskan dia dan selebriti versatil, Ifa Raziah tidak bermasam muka seperti yang didakwa segelintir pihak susulan tiada lagi momen kebersamaan mereka di media sosial, kebelakangan ini.
Bagaimanapun menurut Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, 39, mereka jarang dilihat bersama kerana wujud sedikit perselisihan faham.
Situasi tersebut juga berkemungkinan berpunca daripada perbezaan cara masing-masing dalam menangani sesuatu isu.
“Mengenai dakwaan bermasam muka dengan Ifa, sebenarnya kami tidak bermasam muka. Cuma ada sedikit perselisihan faham.
“Mungkin kerana sifat ego masing-masing. Ifa memang jenis cepat kecil hati. Jadi mungkin ada salah faham kecil yang berlaku dan ia ambil masa untuk reda,” katanya.
Cheta berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Cheta mendedahkan dia pernah berusaha untuk berbaik semula dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ser Ser Ser itu.
Jelasnya lagi, mereka tidak pernah mempunyai isu besar atau serius dan konflik yang berlaku berkemungkinan hanya berpunca daripada salah faham komunikasi.
“Saya pun dah cuba untuk berbaik, bukan tak pernah cuba, tapi ditolak.
“Jadi saya anggap mungkin saya tidak penting buat masa ini. Tak mengapa, kita beri masa supaya keadaan reda dulu.
“Sekarang ini, ruang untuk berdamai memang belum nampak. Bagi saya, saya tak pernah ada isu besar dengan dia,” jelasnya.
Ditanya sama ada wujud perasaan rindu selepas lebih enam bulan hubungan dingin, Cheta tidak menafikan dia merindui detik istimewa bersama Ifa yang disifatkan seperti kakak sendiri.
Tambahnya lagi, buat masa ini dia memilih untuk menunggu waktu yang sesuai bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Memang rindu setiap momen bersama kerana kami memang rapat.
“Mungkin dia rasa macam kakak marah adik. Saya pun jenis mudah terasa dan mulut pun boleh tahan. Jadi buat masa ini, kami sama-sama diam dulu.
“Dah hulurkan tangan, tapi belum disambut. Jadi kita tunggu masa yang sesuai,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Cheta bakal berniaga di Festival Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur selama empat hari bermula 12 hingga 15 Mac depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.