Uncategorized

Cucu Almarhum Sultan Kedah Buat Catatan Menyentuh Hati

Share

“Apabila saya memberitahu kepadanya bahawa ada blog atau seseorang menghina Baginda, Tuanku tidak pernah murka. Baginda sungguh tenang dan bertitah: “Saya sudah lakukan yang terbaik.”

Catatan Cucunda Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar membuatkan ramai yang tersentuh, malah catatannya cukup mengambarkan Almarhum Sultan Kedah cukup disayangi rakyat.

Melalui posting Instagram tersebut, Raja Sarina berkata, Kedah dan Malaysia telah ” Kehilangan salah seorang raja terhebat”.

Perginya seorang sultan yang berjiwa rakyat, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, sekitar pukul 2.30 petang semalam.

Benar, pastinya semua akan terasa dengan pemergian ini…

Raja Sarina yang merupakan graduan bidang kewartawanan turut menceritakan bagaimana dia melihat Tuanku Abdul Halim menangguhkan waktu makan untuk berlatih membaca titah atau ketika bekerja di pejabatnya.

Dalam pada itu, dia menyatakan buat pertama kalinya beliau melihat sisi berbeza nendanya semasa beliau berpindah ke Istana Negara apabila Almarhum dimahsyurkan sebagai Agong buat kali kedua.

Baginda satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Menurut Raja Sarina, nendanya sangat mementingkan tanggungjawab sebagai Agong dan Sultan sehinggakan ketika waktu gering pun baginda masih memenuhi acara majlis.

“Antara acara majlis, Tok akan berada di wad hospital. Apabila Tok meninggalkan wad, saya lihat Tok kelihatan normal di televisyen ketika menyapa Perdana Menteri, barisan menteri dan rakyat.

 

 

“Namun, selepas acara berakhir, Tok kembali ke wad dengan tiub yang bersambung ke badan. Walaupun pada hari gering, Tok akan tepati masa dan tidak membiarkan mereka menunggu,” katanya.

Raja Sarina yang juga wartawan sebuah akhbar menyatakan nendanya bukan seperti yang difikirkan golongan tertentu yang hanya bersemayam di takhta.

Cucunda almarhum juga menyifatkan baginda seorang yang pemurah kerana dalam diam baginda ada menaja beberapa orang anak muda menyambung pengajian ke peringkat universiti.

“Sifat pemurahnya tidak terhad kepada apa yang kita lihat di media, secara senyap-senyap, Tok juga telah menaja pendidikan beberapa orang pemuda sehingga ke peringkat universiti.

 

 

“Melihat rakyatnya berjaya membawa sejuta kegembiraan kepadanya,”tulisnya lagi.

Menerusi satu entri di akaun Instagram miliknya, dilihat dia ada memuatnaik dua gambar menunjukkan dia bersama nendanya.

Ruangan komen di instagram Raja Sarina juga dihujani pelbagai reaksi daripada pengikutnya di laman sosial yang tersentuh dengan catatannya.

Merafak salam takziah daripada kami kepada semua kerabat diraja Kedah. Semoga roh baginda dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

 

 

[su_heading]Untuk perkongsian berita selebriti dan pengiklanan, boleh emelkan kepada editor.media@karangkraf.com atau hubungi 03-5101 7322. Ikuti kami juga di Facebook  Media Hiburan * Instagram  mediahiburanofficial * Youtube  Media Hiburan Official[/su_heading]

IKLAN