Dunia seni antarabangsa kehilangan seorang permata berharga apabila Connie Francis, penyanyi legenda yang sinonim dengan lagu Pretty Little Baby, dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Florida, mendiang berusia 87 tahun.

Perkhabaran duka itu disahkan oleh kenalan rapat beliau, Ron Roberts, beberapa hari selepas penyanyi berkenaan dimasukkan ke hospital sekitar awal Julai lalu berikutan masalah kesihatan yang dialami.

“Dengan rasa amat dukacita dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan tentang pemergian sahabat tersayang saya, Connie Francis, malam tadi,” tulis Ron menerusi hantaran di Facebook.

Dilahirkan pada 12 Disember 1937 di Newark, New Jersey, Connie Francis atau nama asalnya Concetta Rosa Maria Franconero, mencipta sensasi apabila lagu Who’s Sorry Now? menjadi siulan ramai pada tahun 1958, sekaligus membawa kerjaya seni beliau ke pentas global.

Ads

Kejayaan demi kejayaan terus diraih selepas itu menerusi deretan lagu popular seperti Stupid Cupid, Where the Boys Are, serta Everybody’s Somebody’s Fool, yang mengukuhkan namanya sebagai penyanyi wanita solo pertama menakluk tangga teratas carta Billboard Hot 100 pada tahun 1960.

Connie Francis, Penyanyi Lagu ‘Pretty Little Baby’ Meninggal Dunia Pada Usia 87 Tahun

Namun, kemunculan semula lagu Pretty Little Baby selepas 63 tahun menjadi tular di TikTok sekitar Mei lalu memperkenalkan Connie kepada generasi baharu.

Ads

Lagu itu meraih populariti luar biasa menerusi jutaan video di platform media sosial berkenaan, serta mencatat lebih 83 juta penstriman di Spotify, sekaligus membawanya semula ke carta muzik global.

Dalam salah satu kenyataan, Connie mengaku beliau hampir terlupa akan lagu itu dan menyifatkan populariti semula karya tersebut sebagai satu kejutan manis yang tidak dijangka.

Ads

Di sebalik sinar gemilang kerjaya muzik, Connie turut melalui pelbagai episod getir dalam hidup termasuk serangan seksual, kehilangan suara, kematian abang tersayang, serta cabaran mental yang mendalam.

Namun begitu, beliau bangkit sebagai pejuang hak mangsa trauma dan memperjuangkan kesedaran kesihatan mental.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI