Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Christina Perri yang popular menerusi lagu tema Twilight Saga: Breaking Dawn, A Thousand Years, dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Paul Costabile selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut laporan portal hiburan antarabangsa, TMZ, permohonan perceraian itu difailkan pada Isnin di mahkamah Los Angeles dengan alasan perbezaan yang tidak dapat didamaikan. Dalam dokumen yang dikemukakan, Perri turut menyenaraikan tarikh perpisahan mereka berlaku pada hari yang sama permohonan difailkan.
Pasangan tersebut berkahwin pada Disember 2017 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak perempuan masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun. Difahamkan, Perri memohon hak penjagaan bersama secara sah dan fizikal terhadap anak-anak mereka.
Ads
Menariknya, penyanyi berusia 39 tahun itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak menuntut sebarang sokongan pasangan daripada Costabile. Tindakan itu dipercayai berkait dengan perjanjian pra-perkahwinan yang telah dimeterai sebelum mereka berkahwin.
Ads
Langkah Perri memfailkan perceraian secara rasmi menamatkan spekulasi yang berlegar dalam kalangan peminat sejak beberapa bulan lalu apabila pasangan tersebut jarang muncul bersama di khalayak umum dan tidak lagi berkongsi gambar keluarga di media sosial.
Christina Perri mula mencipta nama menerusi single Jar of Hearts pada tahun 2010 dan sejak itu dikenali dengan lagu-lagu berentak balada yang sarat dengan emosi. Lagu A Thousand Years menjadikan beliau antara penyanyi wanita paling berpengaruh dalam genre pop romantik pada era 2010-an.
Ads
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perri mahupun Costabile mengenai keputusan tersebut. Namun pemerhati industri hiburan berpendapat, penyanyi itu bakal memberi tumpuan kepada kerjaya muzik dan anak-anaknya selepas melalui episod pahit rumah tangga ini.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Filem Babah mencipta sejarah apabila membolot enam trofi utama termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang disiarkan secara langsung di TV2 dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, penerbit Babah, Nads Media Entertainment, menerima Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM1 juta dan trofi.
Filem tersebut menewaskan empat finalis lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi.
Trofi Filem Terbaik disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada pengarah Babah, Mohd Shah Faizul, disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Selain Filem Terbaik, Babah turut membawa pulang lima lagi trofi, termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq) dan Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri).
Malam penuh gemilang itu turut menyaksikan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra mengungguli kategori Pengarah Terbaik menerusi filem aksi Blood Brothers: Bara Naga.
Pelakon berbakat, Amir Ahnaf pula dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan menerusi Kahar: Kapla High Council, manakala Michelle Lungan diumumkan Pelakon Wanita Harapan bagi filem Tegkang.
Trofi Pelakon Kanak-kanak Terbaik pula menjadi milik Puteri Rafasya melalui lakonannya dalam Telaga Suriram.
FFM34 turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang dimenangi Blood Brothers: Bara Naga.
Filem sama turut menerima Anugerah Khas Filem Box Office selepas mencatat kutipan lebih RM73.6 juta.
Seniman legenda Datuk Ahmad Tamimi Siregar diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zamanatas lebih 50 tahun jasa beliau dalam dunia perfileman, manakala Hassan Muthalib pula menerima Anugerah Khas Karyawan FFM34.
Pemenang 27 kategori utama masing-masing menerima RM5,000 dan trofi, sementara pemenang Anugerah Khas pula membawa pulang RM10,000 dan trofi.
Tambahan hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS turut diberikan kepada pemenang tujuh kategori utama termasuk Pengarah Terbaik, Filem Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly – Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty – Telaga Suriram
Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf – Kahar: Kapla High Council
Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan – Tegkang
Pengarah Harapan: Mohd Shah Faizul – Babah
Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Puteri Rafasya – Telaga Suriram
Lakon Layar Terbaik:Wan Rafiq – Babah
Cerita Asal Terbaik:Nadia Nadzri – Babah
Penyunting Terbaik: Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof – Soloz: Game of Life
Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin – Blood Brothers: Bara Naga
Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa – Blood Brothers: Bara Naga
Skor Muzik Asal Terbaik:Muhammad Zaoff Sharqil, Donald Bangkong, Teoh Eng Hooi, Azri Yunus, Mohammad Raziz, Mohd Idham, Megat Sazali & Ahmad Huzaini – Soloz: Game of Life
Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman – Soloz: Game of Life
Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh – Kulit Wayang
Rekaan Busana Terbaik: Farah Syaliq – Mencari Ramlee
Tatarias Terbaik: Ella Sandera – Takluk: Lahad Datu
Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam – Soloz: Game of Life
Filem Dokumentari Terbaik: Rindu Tak Berpenghujung
Anugerah Khas Karyawan FFM 34: Hassan Muthalib
Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tamimi Siregar
Anugerah Khas Juri 1:Ejen Ali: Wow Animations dan Primeworks Sdn Bhd
Anugerah Khas Juri 2:Takluk: Lahad Datu(Multimedia Film Production)
Dengan tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’ FFM34 yang dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim menyaksikan 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari diadili oleh juri profesional.
FFM34 turut diserikan dengan persembahan daripada Shila Amzah, Zizi Kirana, Misha Omar, Lan Typewriter, Ziana Zain dan ramai lagi, menjadikan malam FFM34 bukan sekadar acara anugerah, tetapi satu perayaan sinema Malaysia yang penuh prestij dan emosi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pembedahan bariatrik atau lebih dikenali sebagai ‘potong perut’ kini semakin menjadi pilihan sebagai kaedah klinikal untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Bukan sekadar untuk kecantikan, pembedahan ini turut membantu mengurangkan risiko penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.
Namun, timbul kebimbangan apabila terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengeluarkan produk pelangsingan badan dan menipu pengguna demi melariskan jualan.
Bagi penyanyi Datin Alyah, yang turut menjalani pembedahan bariatrik tiga tahun lalu, menasihatkan agar semua pihak jujur dalam setiap tindakan.
“Kalau buat bariatrik, jangan tipu. Cakap saja buat. Ada yang kurus sebab jalani pembedahan bariatrik, tetapi dakwa dirinya diet dan amalkan suplemen. Tak baik menipu macam itu,” katanya yang tidak menyentuh mana-mana pihak.
Isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS itu sebelum ini menjalani prosedur tersebut bagi merawat masalah gastrik serius yang dihadapinya sejak sekian lama, sehingga menyebabkan berat badannya meningkat sebanyak 18 kilogram (kg).
“Pembedahan itu bukan sahaja mengatasi masalah gastrik, tetapi juga mengurangkan risiko saya mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol pada masa akan datang.
“Kalau nak buat bariatrik, kena minta nasihat dua atau tiga doktor. Kadang-kadang mereka mempunyai pendapat berlainan, kemudian baru kita fikir apa yang terbaik.
“Susah nak cakap. Kadang-kadang semua ini nasib. Ada yang buat bariatrik dan patuh arahan doktor, alhamdulillah tiada komplikasi berlaku.
“Dalam masa sama, terdapat juga yang sangat berdisiplin ikut arahan doktor, tapi tetap mengalami komplikasi. Ia bergantung kepada nasib juga sebenarnya,” katanya lagi.
Sementara itu, doktor perubatan Dr Afif Mohd Ridzwan turut berkongsi pandangannya mengenai isu ini. Beliau sering menerima kunjungan pelanggan yang mahu mendapatkan nasihat tentang pembedahan bariatrik.
“Saya menerima ramai pelanggan klinik yang bertanyakan tentang bariatrik. Sebagai doktor, saya sampaikan maklumat yang betul dan mengakui kaedah ini amat bagus dalam penjagaan kesihatan.
“Cuma nasihat saya, apabila ada yang nak kurus sebab nak jual produk pelangsingan, saya tidak setuju dengan tindakannya.
“Nak buat bariatrik untuk kesihatan, itu dah bagus. Tapi apabila ada niat mahu jual produk turunkan berat badan selepas dirinya kurus, itu tidak patut.
@Bagi saya, jangan tipu orang lain mengatakan dirinya kurus sebab ambil mana-mana suplemen, sedangkan dia buat bariatrik,” katanya.
Dr Afif, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, turut menegaskan bahawa pembedahan bariatrik perlu dilakukan atas alasan yang munasabah.
“Selalunya orang yang layak untuk jalani bariatrik adalah mereka yang mempunyai BMI (Indeks Jisim Tubuh) 40 ke atas.
“Ada juga yang mempunyai BMI 35 hingga 40 tetapi menghidap kencing manis, darah tinggi yang teruk, obesiti dan Obstructive Sleep Apnea (OSA), mereka boleh jalani bariatrik.
“Selain itu, bagi mereka yang mempunyai BMI 35 ke bawah, namun tak boleh kawal nafsu makan sedangkan nak kurus, mereka juga layak untuk buat bariatrik.
“Tak kisahlah apa kategori sekalipun, mereka perlukan nasihat dan kebenaran dari pasukan bedah bariatrik.
“Golongan yang tak layak untuk bariatrik adalah mereka yang gemuk tetapi mempunyai masalah mental, ketagihan minuman alkohol, ada penyakit kritikal atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Bukan itu sahaja, mereka yang berminat untuk buat bariatrik tetapi sedar diri tak boleh ikut saranan doktor, baik lupakan sahaja hasrat itu,” tambahnya lagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Nazrief Nazri mendakwa dia dan isterinya, Aizatul Aqma Hamdan, mungkin menjadi mangsa gangguan sihir penunduk yang dipercayai dilakukan oleh bekas pembantu rumah mereka.
Menurut Nazrief, mereka menjumpai beberapa helai kain dan pakaian milik pembantu rumah tersebut yang diletakkan di beberapa penjuru rumah.
Ia dipercayai digunakan dalam ritual sihir bagi memperdayakan dirinya dan isteri.
“Kami terjumpa kain atau baju yang dipakai oleh bibik di beberapa penjuru rumah. Rupanya itu adalah sihir penunduk. Selama pembantu rumah itu ada, saya tak pernah marah dia.
“Padahal bila difikirkan semula, dia kemas dapur pun tak bersih, selalu bagi anak makanan yang dipanaskan dan masak tak sedap tapi saya tak pernah marah.
“Namun, isteri saya yang selalu marah dia. Isteri saya kalau bercakap dengan pembantu rumah, dia tidak akan pandang matanya. Isteri saya memang sangat berjaga-jaga dalam soal ini,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Seribu Tahun itu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama pakaian She Dazzle, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, gangguan tersebut menyebabkan hubungan mereka suami isteri menjadi tegang, malah dia seolah-olah ‘tertutup mata’ daripada melihat kesalahan pembantu rumah itu.
“Sebab itu hanya isteri sahaja yang melawan. Masa pembantu rumah itu masih ada, kami selalu bergaduh. Bila isteri mengadu, saya buat macam angin lalu sahaja dan tak ambil peduli.
“Bila difikirkan semula, kenapa saya jadi sebegitu? Biasanya kalau isteri saya mengadu, saya akan terus ambil tindakan. Bila teringat tentang kain itu, barulah saya rasa semuanya masuk akal.
“Kami sedar tentang perkara itu selepas dimaklumkan oleh pembantu rumah yang baharu ketika kami ingin berpindah rumah. Dia jumpa kain-kain itu.
“Jadi, dia terangkan apa yang berlaku. Katanya perkara ini normal untuk orang dia,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Nazrief turut mendedahkan, kakak iparnya pernah mendengar luahan daripada pembantu rumah tersebut yang dikatakan iri hati dengan kehidupan isterinya.
“Pembantu rumah saya itu seakan tidak boleh menerima yang dirinya seorang bibik. Dia pernah bercerita kepada ipar saya kononnya kehidupannya semasa di Indonesia sama seperti kehidupan isteri saya.
“Katanya di Indonesia, dia selalu makan makanan sihat, pergi gimnasium dan selalu berdandan. Malah, dia juga dikatakan punyai pembantu rumah di Indonesia.
“Dia terpaksa jadi pembantu rumah di Malaysia untuk bantu suaminya yang sakit. Kenapa dia buat perangai, sebenarnya dia sudah tak nak bekerja lagi dan nak balik ke kampung,” akhirinya.
Sebelum ini, isteri kepada Nazrief turut berkongsi mengenai kisah pembantu rumah tersebut di media sosial, mencetuskan perhatian ramai terhadap kejadian aneh yang dialami pasangan itu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dikritik kerana dikatakan kurang popular dan tidak memiliki aura untuk menggalas watak sebagai hero, pelakon Firdaus Karim tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan pihak produksi dan stesen TV untuk membintangi drama Doa Yang Terlindung.