Berita

“Bulan Syawal Ini Orang Kumpul Duit Raya, Saya Dapat ‘Tabung’ Pahala,” – Aliff Aziz

Share

Selepas terpalit dengan siri kontroversi yang memberikan impak besar di dalam hidup, penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz mengakui dia kini banyak mendekatkan diri dengan agama dan berusaha memperbaiki kehidupan.

Jelas Aliff, walaupun terpaksa mengharungi detik sukar, namun dia percaya Allah SWT sentiasa ada untuk memberikannya ketenangan.

“Saya luangkan banyak masa di gim, bersama keluarga, bekerja dan dekatkan semula diri dengan agama. Saya bukannak berdakwah tapi inilah perkara yang buat saya tenang.

“Saya akui, dalam kehidupan ini ada banyak perkara yang perlu saya perbaiki. Tiada siapa yang sempurna. Walaupun saya tidak meneliti komen-komen netizen, bohonglah kalau saya tak nampak apa yang mereka katakan.

“Ada juga yang DM untuk bercakap tentang ibu dan keluarga saya. Alhamdulillah, Allah bagi ketenangan untuk lalui hal ini. Saya ada satu pemikiran.

“Sama ada kita suka atau tidak suka dan percaya atau tidak, setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perkara yang kita lakukan,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka iQIYI, baru-baru ini.

Akui Banyak Khilaf

Dalam masa sama, Aliff juga percaya semua orang bertanggungjawab dalam tindakan masing-masing sama ada dengan Allah atau manusia lain.

“Saya menyedari diri saya punyai banyak kekhilafan dan fokus saya ketika ini adalah untuk memperbaiki diri. Kepada orang yang pernah saya buat salah, sekurang-kurangnya saya mengenali mereka.

“Jadi, saya boleh usaha untuk terus minta maaf. Mungkin amal saya belum cukup tapi amal orang-orang yang komen ini ada banyak sangat.

“Di bulan Syawal ini, budak-budak dalam kumpul duit raya saya pula dapat tabung pahala. Lagi saya kata jangan komen, lagilah mereka akan komen.

“Mungkin saya kena sentiasa ingatkan diri, mungkin inilah ujian saya. Semoga Allah beri kesabaran dan ketenangan,” katanya lagi.

Sementara itu, menegaskan dirinya sentiasa yakin dengan rezeki yang maha Esa meskipun namanya agak terkesan disebabkan isu kontroversi sebelum ini.

“Saya selalu berpesan kepada diri, pada tahun 20126, kita semua sudah tiada lagi di muka bumi ini. Pada waktu itu, tiada satu pun perkara yang penting lebih-lebih lagi tentang apa yang orang kata mengenai saya.

“Selagi Allah yang memberikan rezeki, kenapa saya perlu takut. Mungkin ada orang nak boikot saya. Jika benar mereka nak boikot, itu bermakna Allah izinkan.

“Jika orang-orang sepakat tak mahu beri saya kerja, kalau Allah kata ada, ia tetap akan ada. Itulah hal yang saya percaya. Bukanlah nak kata saya warak. Saya juga ada banyak kekurangan,” katanya lagi.

Jelas Aliff lagi, sekiranya dia terlalu memikirkan apa yang diperkatakan oleh orang lain, agak sukar buat dirinya untuk terus bangkit memperbaiki diri.

“Apa sahaja berlaku adalah di atas izin tuhan. Ada banyak perkara saya kene lakukan dengan lebih baik. Akan tetapi, sampai bila saya kena duduk di satu tempat untuk menyesali dan meratapi segala perbuatan saya.

“Masa terus bergerak ke hadapan. Kalau saya asyik terkesan dengan apa yang orang katakan, bila saya nak bangkit? Pada akhirnya, tiada orang yang akan bantu saya melainkan Allah,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf