
Hampir setahun berpisah dengan bekas suami, Rebecca Nur Al Islam kini memilih untuk memberikan sepenuh perhatian kepada tujuh orang anaknya.
Malah selepas melalui fasa perceraian bersama Datuk Norazam Sulaiman, Rebecca mengakui kehidupannya berjalan seperti biasa tanpa rasa sunyi.
Menurutnya lagi, kesibukan menguruskan anak-anak membuatkan dia tidak mempunyai ruang untuk memikirkan soal perkahwinan baharu.

“Kehidupan saya okay sahaja. Saya tak sempat nak merasa sunyi kerana punyai tujuh orang anak-anak. Suasananya sangat riuh. Bukanlah nak kata saya serik untuk berkahwin tapi buat masa sekarang, saya tak fikir lagi ke arah itu.
“Saya malas nak fikir hal-hal lain selain anak-anak. Pada saya perkahwinan ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Jangan ingat perkahwinan ini hanya sekejap sahaja.
“Tiada pasangan berkahwin yang mahu berpisah. Mungkin orang gila sahaja mahukan hal sebaliknya. Bila kita sudah menuju ke alam pernikahan, biarlah hubungan itu sampai ke akhir hayat.
“Bagaimanapun, segalanya sudah ditentukan Allah SWT. Saya terima dan reda. Ketika ini, anak-anak adalah keutamaan saya,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Keramat itu berkata demikian ketika ditemui di sebuah acara pertunjukan fesyen dan koleksi raya Amber, baru-baru ini.
Sebagai ibu tunggal, Rebecca menegaskan keutamaannya kini hanyalah terhadap pelajaran dan kesihatan anak-anak.

“Saya pernah berkahwin untuk tempoh yang agak lama. Lebih daripada 10 tahun. Bila menginjak usia hampir 40 tahun ini, saya tiada rasa apa-apa lagi. Kini, saya fikir anak-anak sahaja.
“Kesihatan dan pelajaran mereka adalah aspek yang paling penting. Jika tanya tentang kebahagiaan saya, bila anak-anak bahagia, saya juga bahagia,” ujarnya lagi.
Perceraian Tertutup Demi Emosi Anak-Anak
Dalam masa sama, Rebecca memaklumkan anak-anaknya masih dalam proses menyesuaikan diri selepas perpisahan tersebut. Namun, dia bersyukur kerana keadaan kini semakin stabil.

“Anak-anak tak banyak bertanya kerana kami jarang bergaduh. Walaupun ada konflik tapi kami tidak bergaduh. Sebelum saya memutuskan untuk bercerai, kami sudah memaklumkan kepada anak-anak.
“Malah, saya dan bekas suami memilih untuk menjalani proses mahkamah secara tertutup,
Ketika itu, kami mahu menjaga emosi anak-anak. Mereka di sekolah agak dikenali. Jadi, saya tak nak mental mereka terganggu.
“Diam tak diam, sudah hampir setahun kami berpisah. Dua bulan pertama, anak-anak agak sedih juga. Kini mereka okay sahaja,” katanya lagi.
Mengulas mengenai sumber kekuatannya selepas melalui detik sukar, Rebecca percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Sejujurnya, pada awalnya, saya agak blur juga. Jika kita berfikir secara logik manusia, andai kata satu hari nanti kita meninggal, kita tidak akan membawa suami dan anak-anak. Perasaan itulah yang menguatkan saya.
“Bila saya kehilangan suami atau apa sahaja, saya sedar yang semuanya hanyalah pinjaman. Jadi kenapa kita perlu takut berdepan dengan realiti?
“Kita kena ada pegangan yang kuat dengan segala ketentuan Allah. Mungkin jodoh saya kembali semula bersama bekas suami atau dengan orang lain. Kita tidak tahu. Saya serah sepenuhnya kepada Allah,” akhirinya.
Untuk rekod, Rebecca dan Datuk Norazam Sulaiman mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan enam cahaya mata serta seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




