
Selepas 11 tahun melalui kehidupan sebagai ibu tunggal, Erra Fazira mengakui keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga bukan sesuatu yang mudah selepas sekian lama selesa hidup sendiri.
Erra atau Fazira Wan Chek, 51, menegaskan keputusan itu bukan kerana dia terdesak mencari pasangan, sebaliknya lebih kepada fitrah manusia yang mahukan teman hidup untuk mengharungi masa depan.
Menurutnya, apabila usia semakin matang, keinginan untuk ada seseorang yang boleh menjadi tempat berbicara, berkongsi kisah dan menjadi teman bercerita semakin kuat.
“Kalau nak tunggu yakin mungkin akan banyak bisikan yang menakutkan tambah pula saya sudah selesa hidup sendirian.
“Mr E pun sudah hidup solo selama lapan tahun. Masing-masing sudah rasa selesa. Tapi akhirnya, fitrah manusia di peringkat usia seperti ini mahu berteman. Jadi biarlah kami buat cara yang betul dan diredai.
’Kami bukan di dalam situasi terdesak mencari pasangan tapi lebih kepada memikirkan jangka masa yang panjang untuk nak berteman dan kawan bicara di hari tua kelak,” katanya.
Erra berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Abadi 2025 yang berlangsung di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Restu Anak & Pertemuan Keluarga
Dalam masa sama, Erra turut mendedahkan, kedua-dua keluarga telah bertemu enam minggu lalu dalam satu majlis ringkas menghantar cincin tanda.
Menurut penyanyi Jendela Hati itu, mereka terlebih dahulu berbincang sebelum yakin untuk membawa hubungan ke peringkat keluarga.
“Kedua-dua keluarga kami sudah bertemu enam minggu lalu untuk menghantar cincin tanda.
“Sebelum itu, kami berdua berbincang terlebih dahulu dan apabila semuanya sudah yakin dan pasti, barulah kami berjumpa dengan keluarga masing-masing.
“Saya harap perkahwinan ini yang terbaik, terindah dan penutupnya,” ujarnya.
Menyentuh respons anak tunggalnyq pula, Engku Aleesya, Erra berkata gadis itu serta bakal anak tirinya memberi reaksi positif tanpa sebarang bantahan.
“Alhamdulilah kedua-dua anakanda kami sangat positif dan mereka bersyukur malah ikut sahaja perancangan kami. Tiada bantahan dari anak-anak.
“Anak saya pun sudah berusia 16 tahun, semuanya sudah difikirkan. Jadi atas pendekatan itu kami ambil keputusan untuk bersatu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Erra mengesahkan bakal bernikah dengan jejaka pilihannya, Ezwan Zain, pada 12 Disember ini. Erra juga dilihat tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan berita bahagia itu.
Terdahulu, hubungan pasangan ini mula dihidu selepas Erra memuat naik ucapan romantis buat Ezwan pada Januari lalu.
Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah pada 18 Februari 2014.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




