Uncategorized

“Bukan Seperti Segelintir Perempuan Lain Yang Tiba-Tiba Nak Meroyan, Bertumbuk…” – Ayda Jebat

Share

Drama rantaian popular, Cinta Bukan Kristal yang baru sahaja menamatkan episod terakhirnya minggu lalu nyata memberi mesej tersendiri buat penonton, khasnya buat pasangan berkahwin.

Mengakui hakikat bukan mudah untuk insan yang dicintai turut disayangi orang lain, namun pelakon utamanya, Ayda Jebat mengharapkan apa yang dipaparkan menerusi drama berkenaan dipandang daripada sisi positif, seterusnya menjadi iktibar buat suami dan isteri.

“Alhamdulillah, drama ini mendapat rating yang baik dan peminat pun suka dengan jalan cerita yang mungkin sensitif untuk dipertontonkan, tetapi sebenarnya ia memberi banyak pengajaran dan sebolehnya, lihat daripada perspektif yang baik,” katanya kepada MH.

Malah kongsi penyanyi lagu Mata itu lagi, watak yang dibawa Nina Iskandar sebagai Sofeya khasnya, ibarat memberi mesej buat isteri di luar sana mengenai bijaknya wanita bernama Sofeya di dalam mengawal konflik yang berlaku di dalam rumah tangganya.

“Watak Nina misalnya, dia mewakili wanita atau isteri orang di luar sana bagaimana bijaknya Sofeya (watak dibawa Nina) mengenai cara terbaik di dalam mengawal, seterusnya menyelesaikan masalah rumah tangga. Dia bukan seperti segelintir perempuan lain yang tiba-tiba nak meroyan, nak bergaduh, bertumbuh dan sebagainya.

 

“Sebab pada pengakhirannya, dengan berkat kesabaran dan keikhlasan untuk berbuat apa sahaja untuk suami akhirnya Tuhan bagi sesuatu yang baik. Itulah yang cuba disampaikan buat para isteri,” terangnya lagi.

Terdahulu, Ayda ditemui media pada majlis Final Viewing Party Cinta Bukan Kristal di Damansara Performing Arts Centre, Damansara pada Jumaat.

Ditanya mengenai apakah yang terfikir di dalam fikirannya sebelum menerima watak Aryana yang kontroversi, Ayda mengakui pada peringkat awal dia agak takut dan risau andai akan menerima kritikan penonton kelak.

“Bukan sahaja saya, bahkan Nina dan Sharnaaz juga ada terdetik perasaan bimbang dan takut juga. Bagaimanapun bila kami berbincang dan memhami apa yang cuba disampaikan menerusi satu episod ke satu episod, ia sebenarnya ada pengajaran tersendiri,” akhiri Ayda. 

Foto: Instagram Ayda Jebat

 

 

IKLAN