
Berjaya meraih tempat ketiga di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad tetap melihat pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan, meskipun terdapat segelintir netizen yang didakwa ‘bersorak’ kerana dia tidak bergelar juara.
Menurut Nubhan, GV12 adalah sebuah pertandingan yang sangat mencabar, malah setiap peserta telah memberikan komitmen sepenuhnya demi menampilkan persembahan terbaik dan memukau penonton setiap minggu.
Justeru, pencapaian yang diraih oleh setiap finalis tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran.

“Dapat nombor tiga bukanlah ‘padan muka’ (bukan juara). Ini rezeki yang menandakan perjalanan saya daripada minggu pertama sehinggalah minggu ke-12. Ini bukan satu kerja yang mudah.
“Jika saya tersingkir di minggu-minggu sebelum ini, ceritanya mungkin lain. Setidaknya saya sudah menjadi finalis. Itulah sasaran saya ketika menyertai program ini.
“Nak jadi juara bukanlah senang. Bagi saya, juara itu bonus. Dapat tempat ketiga pun saya sangat bersyukur. Saya tak rasa ralat. Ini adalah pertandingan. Kalah dan memang itu adat,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Andai Derita itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media final GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Ujian Peribadi & Prinsip Untuk Terus Kuat
Dalam pada itu, Nubhan mengakui dirinya berdepan pelbagai ujian berat sepanjang bertanding di GV12. Namun, dia memilih untuk kekal kuat dan fokus dalam menghadapi segala ujian yang mendatang.

“Dugaan yang turun kepada saya ini bukanlah sesuatu yang saya minta. Ini semua adalah kententuan daripada Allah SWT. Apa yang saya kena buat adalah untuk terus kuat.
“Tiada jalan penyelesaian jika kita pilih untuk lari daripada masalah. Walaupun macam-macam yang jadi ketika di GV12, saya bersyukur kerana dapat kekal fokus dan meneruskan perjuangan ini.
“Saya tak boleh hidup dengan pelbagai alasan,” kongsinya lagi.
Terdahulu, nama Nubhan sering menjadi perhatian netizen susulan kemelut rumah tangganya bersama bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Pada malam kemuncak GV12, Nubhan dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga di belakang Mendua dan Iskandar Ismail.

Ulasan Juri & Percaturan Lagu Duet
Selain itu, Nubhan turut mengulas komen juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat yang berpendapat dirinya tersilap percaturan dalam pemilihan lagu bagi tugasan duet bersama penyanyi, Aina Abdul.

“Saya hanya memilih lagu untuk tugasan solo. Lagu duet dan battle itu bukan pilihan saya. Jadi saya cuba buat yang terbaik kerana lagu itu sudah ditugaskan kepada saya.
“Aina seorang penyanyi yang professional. Dia sentiasa memberikan sokongan kepada rakan duetnya. Cuma mungkin saya kurang memberi.
“Lagu itu, bila bahagian lelaki, ia memang agak susah. Saya agak pening juga tapi saya ingin berterima kasih kepada Aina kerana berikan komitmen 100 peratus dan sangat merendah diri,” katanya lagi.
Final GV12 menyaksikan penyanyi asal Singapura, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000, trofi dan set perabot.
GV12 bersiaran secara langsung dari MBSA Shah Alam bermula 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104). Program ini juga boleh ditonton secara strim On Demand di Astro GO dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




