
Jarang muncul di kaca televisyen, pelakon Azrel Ismail mengakui dirinya kini sudah semakin kurang menerima tawaran berlakon.
Namun begitu, pelakon filem Pulang ini tetap bersyukur apabila rezekinya kini lebih tertumpu kepada bidang penciptaan kandungan di media sosial dan berkolaborasi dengan pelbagai jenama antarabangsa.
“Kali terakhir saya berlakon adalah ketika bulan puasa yang lalu. Kini, saya hanya menumpukan perhatian di platform media sosial sebagai pembikin konten.
“Saya banyak berkolaborasi dengan jenama-jenama antarabangsa. Jadual saya agak penuh. Nak berlakon pun tiada tawaran. Namun, ini rezeki yang telah diaturkan buat saya,” katanya.
Azrel menambah, komitmen sebagai content creator juga memberi satu kepuasan baru kerana dia dapat menjadi diri sendiri dan tidak perlu ‘berlakon’ dalam erti kata sebenar.
Tambah Azrel, dunia lakonan kini lebih kompetitif dan faktor bajet antara penyebab mengapa pelakon berpengalaman sukar mendapat tawaran.
Enggan Turunkan Harga, Mahu Bakat Dihargai
Azrel turut menyatakan sedikit rasa terkilan apabila tawaran semakin kurang, namun memahami bahawa produksi kini memiliki lebih banyak pilihan pelakon, dan bajet yang ketat juga menjadi cabaran.
“Pada mulanya, agak terkilan juga. Saya buntu bagaimana nak dapat tawaran kerja. Mungkin kini banyak persaingan atau pihak produksi punyai pilihan lain.
“Bila kita bagi budget kita, mungkin bagi mereka mahal dan nak jimatkan kos. Mungkin pelakon-pelakon lain kena dengan harga mereka,” katanya lagi.
Azrel bagaimanapun, kekal dengan pendirian untuk tidak menurunkan kadar bayarannya demi mendapatkan tawaran.
“Pada saya, rate artis itu penting lebih-lebih lagi untuk pelakon yang punyai pengalaman lebih 10 tahun.
“Sebagai contoh, harga kita RM3,000 tapi orang tawarkan RM2,000. Perbezaan itu terlalu besar. Kalau kita terima pun, kita seperti downgrade diri sendiri,” katanya.
Kini, Azrel lebih selesa bergerak secara bebas sebagai pembikin konten, memanfaatkan fleksibiliti masa serta ganjaran yang kadangkala lebih baik daripada lakonan.
“Bekerja sebagai pembikin konten ini, waktunya lebih fleksibel. Ada kalanya, satu jam pun kerja sudah selesai.
“Sekarang, saya merasakan pekerjaan ini lebih mudah dan bayaran pula lebih daripada berlakon. Ada kalanya tiada bayaran pun tapi kita dapat barang-barang yang berjenama,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Azrel Ismail
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI