
Penyanyi pop terkenal, Britney Spears sekali lagi mencuri perhatian selepas laporan media antarabangsa mendakwa rumah agam miliknya berada dalam keadaan tidak terurus dan dipenuhi najis anjing.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, kelihatan latar belakang kediaman Spears agak berselerak dan terdapat objek di lantai yang didakwa sebagai najis anjing.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan ramai pihak terhadap tahap kebersihan serta keadaan bintang berusia 43 tahun itu yang sebelum ini pernah menghidapi fasa kesihatan mental yang tidak stabil.
Portal hiburan Page Six melaporkan, rakan serta ahli keluarganya turut bimbang kerana Spears dikatakan gagal mengurus rutin harian termasuk menjaga kebersihan rumah serta haiwan peliharaannya.
BACA JUGA: Nyalakan Rokok Dalam Pesawat, Britney Spears Terima Amaran
Walau bagaimanapun, penyanyi lagu Toxic itu menafikan dakwaan berkenaan dengan menyatakan bahawa ketika video itu diambil beliau sedang giat membersihkan rumahnya.
Dalam hantaran sama, Britney mengecam pihak yang menghakiminya dan menulis pada kapsyen,“sedang bermain dengan pencahayaan dan membersihkan rumah seperti tiada hari esok.”
Isu ini menambah siri kontroversi yang membabitkan Spears selepas pembebasannya daripada perintah konservatori pada 2021. Walaupun kini menikmati kebebasan penuh, pelbagai laporan terus mempertikaikan tahap kesihatan mental dan gaya hidupnya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan