
Pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt, telah memfailkan saman berjumlah AS$35 juta (kira-kira RM163 juta) terhadap bekas isterinya, Angelina Jolie, berhubung penjualan kepentingan dalam kilang wain mewah mereka, Château Miraval, yang terletak di Perancis.
Menurut laporan majalah People, tindakan undang-undang itu difailkan selepas pihak Pitt mendakwa Jolie telah menjual bahagiannya dalam syarikat tersebut tanpa sebarang perbincangan atau persetujuan daripada beliau.
Penjualan itu dipercayai dilakukan pada tahun 2021 kepada sebuah syarikat milik pelabur Rusia, Yuri Shefler. Dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan pada 29 Oktober lalu, pihak Pitt turut menyertakan satu e-mel daripada Jolie yang dijadikan bukti utama dalam kes berkenaan.
Pelakon filem Fight Club itu menegaskan bahawa tindakan bekas isterinya itu telah menjejaskan operasi serta reputasi perniagaan wain Miraval yang sebelum ini diurus bersama.
Pitt mendakwa, penjualan tersebut bukan sahaja dilakukan secara tergesa-gesa, malah menyalahi perjanjian asal mereka yang menetapkan sebarang keputusan berkaitan syarikat mesti dibuat secara bersama. Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi berjumlah AS$35 juta sebagai pampasan terhadap kerugian yang dialami.
Sementara itu, pihak Jolie melalui peguamnya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tindakan Pitt sebagai cubaan untuk terus menekan serta mengawal beliau dari segi kewangan dan undang-undang.
Peguam Jolie juga mendakwa tuntutan Pitt itu tidak berasas kerana segala urusan jual beli telah dilakukan secara sah mengikut prosedur undang-undang.
Dalam perkembangan sama, pihak Jolie turut enggan menyerahkan beberapa dokumen tambahan yang diminta oleh Pitt atas alasan ia dilindungi di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA) serta hak komunikasi antara peguam dan klien.
Mahkamah dilaporkan akan meneruskan sesi pendengaran seterusnya pada 17 Disember depan bagi meneliti semula permohonan dokumen dan tuntutan kedua-dua belah pihak.
Pertikaian mengenai Château Miraval itu menjadi lanjutan kepada perbalahan panjang antara pasangan bintang Hollywood tersebut yang berpisah pada tahun 2016 selepas 12 tahun bersama dan mempunyai enam orang anak hasil hubungan mereka.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




