
Bintang realiti Korea Selatan, Cha Hyun-seung yang pernah mencuri perhatian menerusi rancangan realiti popular Single’s Inferno mengejutkan peminat selepas mendedahkan dirinya kini berjuang melawan penyakit leukemia.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Hyun-seung menerusi satu hantaran di Instagram pada 27 September lalu. Menerusi hantarab itu dia berada di dalam wad hospital dengan kepalanya sudah dibotakkan.
Menurutnya, kehidupannya berubah sekelip mata apabila dimasukkan ke bilik kecemasan awal Jun lalu sebelum disahkan menghidap penyakit berbahaya tersebut.
“Segalanya terhenti. Pada mulanya, saya tidak dapat menerimanya. Setiap hari dipenuhi dengan rasa takut dan kekeliruan,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Sejak itu, Hyun-seung memulakan rawatan intensif termasuk kemoterapi dan transfusi darah. Antara kesan sampingan yang dialami ialah keguguran rambut, rasa mual, hilang selera makan, tekanan darah tidak stabil serta kesukaran tidur.
“Saya berjuang dalam diam hari demi hari. Saya mahu terus berkongsi perjalanan ini agar peminat dapat melihat usaha saya untuk sembuh,” tambahnya. Selain itu, beliau juga mengambil langkah melakukan rawatan pembekuan sperma sebelum terapi bermula.
Hyun-seung yang turut dikenali menerusi penyertaannya dalam Physical: 100 berjanji akan kembali lebih kuat, malah menegaskan impian dan semangatnya dalam dunia seni tidak akan terpadam.
“Jalan di hadapan masih panjang tetapi saya pasti akan mengatasinya. Impian dan semangat saya masih hidup,” ujar bintang berusia 33 tahun itu.
Berita mengenai keadaan kesihatannya segera mendapat perhatian ramai rakan artis dan peminat yang membanjiri ruangan komen dengan doa serta kata-kata semangat.
Cha Hyun-seung sebelum ini cukup dikenali dengan penampilannya yang karismatik serta bakat sebagai penari latar untuk beberapa bintang K-pop ternama.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




