
Personaliti televisyen realiti Amerika Syarikat, Kyle Chrisley, yang pernah muncul dalam siri realiti popular Chrisley Knows Best, ditahan polis selepas didakwa bertindak agresif dan menyerang beberapa anggota penguat kuasa undang-undang dalam satu insiden tangkapan di Rutherford County, Tennessee, baru-baru ini.
Menurut laporan pihak berkuasa, kejadian itu berlaku pada 20 Disember lalu selepas polis menerima panggilan kecemasan berkaitan pertengkaran domestik di sebuah kediaman. Ketika tiba di lokasi, Kyle didakwa berada dalam keadaan tidak terkawal serta enggan memberikan kerjasama kepada anggota polis yang menjalankan tugas.
Situasi dilaporkan bertambah tegang apabila suspek bertindak ganas sehingga memukul beberapa pegawai polis yang cuba menahannya. Bagi mengawal keadaan dan mengelakkan kecederaan lebih serius, pihak berkuasa terpaksa menggunakan semburan lada.
Hasil siasatan awal mendapati Kyle kini berdepan sekurang-kurangnya 10 pertuduhan, termasuk serangan domestik, menyerang pegawai penguat kuasa undang-undang, menghalang proses tangkapan, mabuk di tempat awam serta berkelakuan tidak teratur. Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan berjumlah AS$88,500.
Mahkamah menetapkan 27 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan kes. Setakat ini, pihak peguam yang mewakili Kyle masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pertuduhan yang dikenakan.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Kyle berdepan masalah dengan undang-undang. Dia sebelum ini pernah ditahan atas kes serangan berat pada 2023, selain pernah terlibat dalam tindakan undang-undang sivil berkaitan satu lagi insiden tangkapan.
Siri Chrisley Knows Best sebelum ini meraih perhatian ramai dengan memaparkan kehidupan mewah dan dinamika keluarga Chrisley, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama keluarga berkenaan kerap dikaitkan dengan pelbagai kontroversi dan isu perundangan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan