
Setelah sekian lama berteka-teki, pelawak dan usahawan, Shuib akhirnya mengesahkan isterinya yang juga pempengaruh, Watie Hanifiah kini hamil lima bulan.
Berkongsi lanjut mengenai khabar gembira itu, Shuib memanjatkan rasa syukur kerana impiannya untuk sekali lagi dikurniakan cahaya mata bersama Watie akhirnya dimakbulkan.

“Alhamdulillah, seperti mana yang orang nampak dan cuba meneka-neka, isteri saya kini hamil lima bulan.
“Ketika pertama kali isteri saya hamil (yang kemudian keguguran), kami dapat tahu ketika berada di Madinah.
“Pada waktu itu, saya rasa agak sayu kerana teringat momen ketika arwah Siti Sarah buat kali terakhir hamil anak bongsu kami. Saya rasa seperti dejavu dan agak takut.
“Yang pertama dahulu, kami tiada rezeki. Bila kali kedua ini, kita memang rancang untuk ada cahaya mata. Alhamdulillah, kali ini lekat lagi.
“Watie paling teruja. Katanya dia akan jaga kandungan ini betul-betul. Ketika kehamilan kali pertama dahulu, dia agak sibuk dengan kerja-kerjanya,” katanya kepada MH.
Shuib dan Watie ditemui media ketika hadir ke majlis pelancaran single pertama penyanyi, Amad Dayyan berjudul ‘Mendewasa’ di Qeqoz Gift & Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.
Harapan Eratkan Ikatan Keluarga
Dalam masa sama, Shuib turut berharap agar kehadiran cahaya mata pertama bersama Watie ini akan lebih mengeratkan lagi ikatan keluarga besarnya.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya saya punyai zuriat bersama Watie. Saya memang nak ikatan kekeluargaan ini jadi lebih kuat.
“Sebelum ini, hanya ada saya, anak-anak dan Watie dalam keluarga ini. Saya tak nak Watie rasa seperti orang luar. Bila ada darah daging bersama, kita saling melengkapi.
“Bila anak-anak tahu mereka bakal ada adik, mereka akan jaga ikatan ini. Harap semuanya selamat sehingga bayi dilahirkan,” kongsinya.
Sementara itu, Shuib turut mendedahkan anak-anaknya juga teruja bila dapat tahu Watie kini hamil.

“Bila kami tahu tentang kehamilan kali kedua ini, kami tidak maklumkan kepada sesiapa termasuk anak-anak, ibu bapa dan keluarga kami.
“Saya hanya maklumkan kepada anak-anak pada malam final program Talk To My Manager. Antara sebabnya kerana saya mahu Thalita gembira. Anak-anak memang sudah lama berteka-teki.
“Pada malam itu, saya nak Thalita enjoy dan tak serabut. Sebab itu dia nampak berseri-seri bila di pentas,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pilihan jantina, Shuib mengakui pada awalnya dia berharap mendapat anak lelaki agar Talitha kekal menjadi satu-satunya anak perempuan.

Bagaimanapun, dia mengakui kini reda dan terbuka menerima apa sahaja rezeki.
Sebelum ini, Watie berkongsi berita duka apabila dia mengalamai keguguran ketika hamil anak pertamanya.
Sekadar informasi, pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




