Hiburan

“Biarlah Allah Yang Tentukan…,” – Ogy Tak Harap Gelaran ‘Datuk’, Lebih Selesa Hasil Kerja Jadi Perhatian

Share

Dalam dunia hiburan yang penuh glamor dan pengiktirafan, pelakon legenda Fauziah Ahmad Daud kekal berpegang kepada prinsip bahawa kualiti kerja lebih utama berbanding gelaran.

Ketika ada rakan seangkatan mahupun artis muda sudah dikurniakan darjah kebesaran, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy terharu sekiranya dia terus dihargai melalui sumbangannya dalam seni.

“Biarlah Allah yang tentukan bila masa yang tepat. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tak mengapa.

“Saya lebih suka bila hasil kerja saya yang berbicara. Saya lebih selesa begitu.

“Sehingga kini, saya tidak pernah menerima tawaran untuk mendapatkan gelaran tersebut. Malah, tiada seorang pun yang berpangkat Datuk berani ‘meminang’ saya juga,” selorohnya.

50 Tahun Dalam Seni, Tanpa Kejar Populariti

Walaupun tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar ‘Datuk’, Ogy bagaimanapun terharu kerana kerjayanya selama lebih lima dekad masih diingati ramai.

“Saya terharu ramai yang mengingati impak kerjaya saya dan bersyukur kerana dilahirkan menjadi seorang yang berprinsip.

“Bukan populariti yang saya inginkan tapi hasil kerja yang perlu diutamakan. Alhamdulillah, memang hasil kerja saya sentiasa berbicara,” katanya lagi.

Terbaharu, Ogy kembali menyumbang dalam industri seni dengan mengambil peranan sebagai pengetua Asian Pop Star, sebuah program realiti pencarian bakat baharu yang bakal bersiaran 29 November ini.

Program itu bakal mempertemukan 20 peserta terbaik dari seluruh Asia Tenggara yang bersaing merebut hadiah wang tunai USD20,000 dan biasiswa seni persembahan di ASWARA dan Korea Selatan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf