
Pempengaruh sensasi, Cik Epal meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya untuk bercuti bersama anak-anak ke Harbin, China terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Menurut Cik Epal atau nama sebenarnya Nor Munirah Mahmud, dia terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit selepas bekas suaminya, Jofliam didakwa tidak menghantar pulang anak-anak mereka mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

“Saya tidak dapat anak-anak saya pada minggu ini. Jadi, tiket semua memang burn begitu sahaja. Segalanya berlaku pada saat akhir. Jadi, saya tak boleh nak teruskan dengan perancangan saya.
“Ada juga yang bertanya kenapa saya tak pegi sahaja sorang diri untuk tenangkan fikiran. Saya memang tak nak. Saya nak bercuti bersama anak-anak saya.
“Berpuluh-puluh ribu habis begitu sahaja,” katanya kepada MH.
Cik Epal berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Anugerah Paling Viral Online yang berlangsung di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Serah Kepada Mahkamah
Ditanya sama ada dia sudah memaklumkan percutian itu kepada bekas suami, Cik Epal memaklumkan dia tidak perlu berbuat demikian kerana memegang penuh hak hadanah anak-anak.

“Saya memang memegang hak hadanah. Jadi, saya tak perlu maklumkan pun kepada pihak sana. Saya sudah pun panjangkan hal ini ke mahkamah.
“Berkaitan alasan yang diberikan oleh pihak di sana, saya enggan berikan sebarang komen,” ujarnya lagi.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menjelaskan dia nekad untuk memanjangkan isu berkenaan ke mahkamah dan tidak lagi mahu membuat sebarang kenyataan di media sosial seperti kontroversi sebelum ini.

“Saya sebenarnya enggan memanjangkan isu ini. Saya sudah malas nak mengulas panjang di media sosial. Lebih baik saya bising di mahkamah sahaja.
“Apa-apapun, biarlah pihak mahkamah yang uruskan. Kalau bising di media sosial pun, saya tak dapat apa-apa. Lebih baik saya gunakan saluran yang betul,” katanya lagi.
Memilih untuk berdiam diri dan menyerahkan segalanya kepada pihak mahkamah, Cik Epal turut menyangkal dakwaan dia terkesan dengan kritikan netizen.

“Saya sebenarnya sudah biasa berdepan dengan kritikan. Jadi, saya memang tak kisah. Biarlah mahkahmah yang tentukan nanti.
“Saya memang sangat penat. Kalau boleh, saya nak hidup tenang-tenang sahaja,” luahnya.
Cik Epal menambah, disebabkan isu ini juga, dia telah membuat permohonan untuk mengubah pelaksanaan berkaitan hadanah bersama bekas suami.

“Prosiding berkaitan hadanah dan kes-kes lain bakal bersambung pada tahun hadapan. Hak hadanah kini memihak kepada sana namun, saya ingin mengubah cara pelaksanaannya selepas ini,” akhirinya.
Untuk rekod, Cik Epal pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Jofliam pada 1 Jun 2014 sebelum bercerai pada Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Han dan Yuki.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




