Hiburan

Bekas Pelakon Kanak-Kanak, Kianna Underwood Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

Share

Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan pemergian tragis bekas bintang kanak-kanak Nickelodeon, Kianna Underwood, yang maut selepas terlibat dalam insiden langgar lari di Brooklyn, New York, pada Jumaat lalu.

Mangsa berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Explorer berwarna hitam ketika sedang melintas jalan di kawasan Brownsville, sekitar awal pagi.

Menurut polis New York, kejadian tidak berakhir di situ apabila Kianna dilaporkan dilanggar buat kali kedua oleh sebuah kereta sedan berwarna hitam dan kelabu ketika mangsa terbaring di atas jalan.

Kedua-dua pemandu terbabit bagaimanapun tidak berhenti untuk menghulurkan bantuan sebaliknya bertindak melarikan diri dari tempat kejadian.

Pihak berkuasa mengesahkan kes itu kini disiasat sebagai kes langgar lari dan sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dilakukan. Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Kianna  pernah dikenali sebagai antara wajah muda berbakat dalam industri hiburan Amerika Syarikat, khususnya menerusi penampilannya dalam rancangan komedi sketsa popular Nickelodeon, All That, pada tahun 2005.

Beliau juga mengisi suara watak Fuchsia Glover dalam siri animasi kanak-kanak Little Bill yang disiarkan dari 1999 hingga 2004. Selain itu Kiana juga pernah mencipta nama di pentas teater apabila terlibat dalam jelajah kebangsaan muzikal Hairspray

, membawakan watak Little Inez.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA