
Selepas sukses penganjuran di Kelantan dan Terengganu, Makar Fest diteruskan lagi di Kota Jail, Johor Bahru pada 28 Ogos hingga 1 September ini.
Meneruskan tema asal ‘Makar, Makan & Muzik’, festival kali ini tampil lebih segar dengan tambahan elemen kemerdekaan, anti buli dan kehidupan di penjara.
Menurut penganjur Makar Fest yang juga pelawak, Issey Fazlisham, tema anti buli dipilih bukan sekadar menunggang isu semasa, tetapi sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Kami bukan nak menunggang isu buli. Bila isu ini sedang panas dan orang bercakap, kita juga perlu ke hadapan untuk turut sama bersuara.
“Kita kena ambil peluang ini dari sudut positif. Kita tak boleh ketinggalan. Kami ada platform yang bagus untuk besarkan dan beri pendedahan mengenai isu buli ini.
“Acara ini turut melibatkan keluarga dan anak muda. Jadi, apa salahnya kita guna ruang yang ada ini. Kalau tiada peluang, kita cipta peluang itu sendiri.
“Makar Fest bukan sekadar hiburan. Kita juga angkat mesej sosial dan komuniti. Kita mahu anak muda ini bersuara dengan cara kreatif dan interaktif,” katanya kepada MH pada majlis sidang media Makar Fest Kota Jail di Blvckdoor Studio, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Sementara itu, rakan kongsi Makar Fest merangkap pemilik jenama Sunburst KL, Ilham Hakimi Sidek, menegaskan isu buli tidak boleh dipandang remeh.
“Ini juga merupakan tanggungjawab sosial Makar Fest di mana kami turut peka dan mengambil tahu tentang apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat.
“Kita tak boleh pandang ringan mengenai isu buli ini.
“Kita kena turut sama bersolidariti untuk meningkatkan kesedaran berkaitan masalah buli ini terutamanya di kalangan remaja dan mahu mereka ini ada masa hadapan yang cerah,” ujarnya.
Teater Dalam Penjara Tarikan Utama
Sempena festival ini, Makar Fest bakal mempersembahkan sebuah produksi teater berjudul ‘Teater Dalam Penjara’ arahan pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus.
Menurut Issey, Kota Jail dahulunya dikenali sebagai Penjara Ayer Molek sebelum ditutup pada 2015, kini berfungsi sebagai pusat seni dan destinasi pelancongan baharu Johor Bahru.

“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara, iaitu di Kota Jail. Mungkin ada yang belum tahu, Kota Jail merupakan penjara ke-3 tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun yang dahulunya menempatkan ramai banduan.
“Bayangkan, kami pentaskan teater tersebut dalam penjara yang kini dinaik taraf sebagai tempat pelancongan yang baru di Johor Bahru.
“Jadi, orang ramai yang datang ke Makar Fest 2025 dan menonton teater ini boleh merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” katanya.
Selain Issey dan Sabri, teater ini turut dibintangi pelakon seperti Ain Sufia, Ammar Titan, dan Angeline Tan. Maklumat jualan tiket akan diumumkan menerusi media sosial rasmi Makar Fest 2025 bermula Isnin.
Tidak terhad kepada teater semata-mata, Makar Fest Kota Jail 2025 juga dipenuhi dengan pelbagai acara menarik seperti malam kebudayaan, festival makanan, aktiviti keluarga, bundle dan fesyen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




