Berita

“Bagus Baby Mama, Awak Sangat Baik,” – Eyka Farhana Ngidam Nak Shooting, Syukur Kandungan ‘Baik’

Share

Pelakon, Eyka Farhana mengakui teruja untuk kembali ke set penggambaran meskipun kini sedang sarat hamil anak sulung.

Menurut Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, perjalanan penggambaran yang dilalui setakat ini berjalan dengan sangat lancar.

Malah, keadaan bayi di dalam kandungan juga disifatkan sangat memberi kerjasama dan tidak menyukarkan urusannya sebagai seorang pelakon.

“Bagus betul baby mama. Setakat ini, kelakuan awak sangat baik dan bagi mama energi yang penuh ketika penggambaran.

“Mungkin sebab awak mengidam sangat nak mama kembali ke set penggambaran ketika mengandungkan?

“Alhamdulillah tak penat, tak mengantuk sangat. Kalau tidak, duduk rumah asyik tidur sahaja,” tulisnya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid, menerusi satu hantaran di Instagram Stories miliknya.

Ngidam Kembali Ke Set

Jelas Eyka lagi, sepanjang kehamilan pertamanya ini, dia tidak mengalami sebarang alahan mahupun mengidam makanan tertentu. Sebaliknya, dia lebih merindukan suasana bekerja di set penggambaran.

“Kalau orang tanya apa yang paling ngidam masa pregnant, saya ngidam nak shooting. Yay, sangat gembira untuk balik ke set,” kongsinya lagi.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Eyka dan suaminya berkongsi khabar gembira apabila memaklumkan mereka kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata sulung.

Menerusi hantaran di Instagram, Eyka turut berkongsi beberapa momen indah sesi ‘maternity shoot’ yang berlangsung di sebuah pantai bersama suami tercinta.

Menurut Eyka, kehadiran cahaya mata ini sememangnya bakal menjadi hadiah terindah serta penyeri baharu buat dirinya dan keluarga.

Sekadar informasi, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2024 dalam sebuah majlis tertutup.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf